Bintulu Port Holdings Bhd dan Jabatan Hutan Sarawak berganding bahu dalam pemuliharaan alam sekitar
BINTULU: Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak (FDS) telah berjaya menganjurkan Program ‘Jungle Trekking’ dan penanaman pokok di Similajau Forest Reserve, baru- baru ini.
BPHB dalam kenyataannya memberitahu bahawa program ini merupakan sebahagian daripada Kempen Penghijauan Sarawak.
Ia mensasarkan penanaman 35 juta pokok di seluruh Sarawak sebagai komitmen kepada pemuliharaan alam sekitar.
Seramai 131 peserta, yang terdiri daripada 93 wakil BPHB dan 38 dari FDS, mengambil bahagian dalam program itu.
Sepanjang program, sebanyak 250 anak pokok daripada sembilan spesies tempatan, seperti Bintangor Batang Putih, Selangan Batu Pinang, dan Merawan Siput Jantan, telah ditanam sebagai simbol tanggungjawab bersama ke arah masa depan yang lebih hijau.
Dalam ucapan ringkasnya, Pegawai Wilayah Jabatan Hutan Bintulu, Hwang Chiong Hee, menekankan kepentingan inisiatif ini bagi pemuliharaan alam sekitar.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan usaha pemuliharaan hutan.