SUK Sarawak Santuni Warga Media Sempena Malam Penghargaan Media Pelabuhan Bintulu 2026
KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyantuni warga media bersempena Malam Penghargaan Media Pelabuhan Bintulu 2026, di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Ketibaan beliau sekitar jam 8 malam disambut meriah oleh Lembaga Pengarah Pelabuhan Bintulu Holdings Berhad Dato (Dr) Salihin Abang dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Bintulu Holdings Berhad Dato Ruslan Abdul Ghani.
Menurut Dato Ruslan, kehadiran Datuk Amar Mohamad Abu Bakar pada malam itu membuktikan sokongan dan penghargaan yang berterusan kepada warga media dalam melaporkan berita terkini mengenai pembangunan pelabuhan sepanjang tahun lalu.
“Ini merupakan kali ketiga atau tahun ketiga berturut-turut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar bersama-sama kita dalam majlis makan malam seperti ini.
“Ia jelas menunjukkan sokongan, keakraban, kasih sayang, kemesraan dan yang paling utama, penghormatan beliau terhadap warga media,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan.
Dalam majlis berkenaan, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar yang juga Pengerusi Pelabuhan Bintulu Holdings Berhad turut menyaksikan penyerahan plak penghargaan kepada wakil-wakil media yang hadir.
Turut hadir, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, (JaPen) Sarawak Sabri Said dan Pengurus Besar, Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad Maslihah Tioh. -EDISI UKAS