Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Program Back to School Bintulu Port dorong pelajar lebih bersedia hadapi sesi baharu
04 Dis 2025


BINTULU, 4 Dis: Inisiatif Back to School 2026 anjuran Bintulu Port memberi dorongan penting kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk memulakan sesi baharu dengan lebih yakin, di samping meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Datuk Ruslan Abdul Ghani, berkata bantuan itu bukan sekadar menyediakan kelengkapan asas sekolah, tetapi berperanan meningkatkan motivasi pelajar agar lebih fokus terhadap pendidikan.

“Program ini membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan awal menghadapi sesi persekolahan 2026. Selain meringankan beban, ia memberi motivasi untuk mereka kembali ke sekolah dengan keyakinan baharu.

“Pada masa sama, inisiatif ini mengukuhkan hubungan Bintulu Port dengan komuniti melalui program CSR berimpak tinggi, selari aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia yang menekankan akses pendidikan berkualiti dan peluang adil kepada semua,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh, pada majlis penyerahan bantuan di sini, hari ini.

Seramai 314 pelajar dari enam sekolah menerima bantuan meliputi beg sekolah, pakaian seragam dan peralatan tulis, membabitkan SMK Baru, SMK Kemena, SMK Asyakirin, SMK Bandar, SMK Kidurong dan SMK Bintulu.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili, berkata program Back to School 2026 bukan sahaja membantu mengurangkan beban keluarga, malah membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali lebih awal bidang kerjaya berkaitan industri pelabuhan dan tenaga di Bintulu.

Menurutnya, pendedahan seperti itu memberi gambaran jelas mengenai prospek kerjaya berimpak tinggi, sekali gus menggalakkan pelajar menumpukan perhatian kepada kepentingan pendidikan.

“Apa yang dibuat Bintulu Port bukan sekadar memberi beg dan peralatan sekolah. Bantuan ini menjadi perangsang untuk pelajar menetapkan tekad meningkatkan kualiti pembelajaran mereka sebelum sesi 2026 bermula,” katanya. - TVS