Sarawak Bayar Pampasan RM1.8 Bilion Ambil Alih Pelabuhan Bintulu Berlandaskan Perlembagaan dan MA63.
Kerajaan Sarawak tidak mengambil alih Pelabuhan Bintulu secara percuma, sebaliknya membayar pampasan aset pelabuhan itu kepada Kerajaan Persekutuan menerusi persetujuan secara prinsip bernilai RM1.8 bilion yang dicapai pada Februari lalu, termasuk kaedah pembayaran yang dipersetujui kedua-dua pihak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pengambilalihan pelabuhan strategik itu dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sambil menjelaskan bahawa Pelabuhan Bintulu sebenarnya berada di bawah bidang kuasa negeri, namun diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan ketika dibangunkan pada awal 1980-an berikutan keperluan mendapatkan pinjaman kira-kira RM400 juta daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) yang memerlukan jaminan berdaulat kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, persetujuan ketika itu dicapai antara Allahyarham Tun Hussein Onn dan Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub supaya pelabuhan tersebut dibangunkan serta diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan, dan pengembalian semula Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak kini menjadi detik bersejarah dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi proses yang disifatkannya sebagai adil dan dipersetujui kedua-dua pihak.