Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Bintulu Port Sasar Jadi Pelabuhan Digital Menjelang 2030
12 Feb 2026


Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (tengah) menyaksikan Ruslan menyampaikan penghargaan kepada pengamal media pada Malam Apresiasi Media BPHB, malam tadi | Foto: Mohd Alif Noni

KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menyasarkan untuk menjadi pelabuhan digital sepenuhnya menjelang 2030, dengan automasi penuh dijangka dilaksanakan menjelang 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata, pengendali pelabuhan tersebut melaksanakan pelbagai inisiatif digital sejak tiga tahun lepas, bermula dengan pemasangan sistem pintu masuk pintar dan teknologi pengecaman nombor plat kenderaan.

Abu Bakar Marzuki (tengah) merasmikan Malam Apresiasi Media BPHB, malam tadi | Foto: Mohd Alif Noni

“Pada masa ini, kita sedang memasang sistem operasi pelabuhan yang bertaraf terkini, seiring teknologi yang digunakan di Pelabuhan Yangshan, Shanghai, bagi membolehkan pelaksanaan sistem operasi bersepadu sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Media BPHB di sini, malam tadi.

Jelas Ruslan, sistem tersebut membolehkan pelanggan menggunakan kaedah operasi yang lebih maju selain meningkatkan kecekapan dalaman.

BPHB juga memperkenalkan sistem marin bagi pengurusan pergerakan kapal dengan lebih berkesan, menambah baik rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) serta menggunakan teknologi dron termasuk sistem “nested drone”, sekali gus menjadikannya pengendali pelabuhan pertama di Malaysia melaksanakan teknologi berkenaan.

Ruslan berkata sistem operasi pelabuhan ini dilaksanakan di Pelabuhan Perindustrian Samalaju sejak September tahun lepas dan dijangka siap sepenuhnya di Bintulu Port serta terminal kontena Biport menjelang April tahun ini.

Beliau berkata syarikat tersebut juga sedang memasang sistem kembar digital (digital twin), yang akan meletakkan Bintulu Port antara pelabuhan terawal di Malaysia menggunakan teknologi berkenaan.

“Ia bukan semata-mata kerana kita mahu mengejar pendigitalan, tetapi untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti, yang akhirnya memberi manfaat kepada pelanggan,” katanya.

Suara Sarawak