Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

YAYASAN BINTULU PORT SUMBANG BAKUL MAKANAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA
27 Jan 2026


BINTULU, 27 Jan — Yayasan Bintulu Port Holdings menerusi inisiatif Bintulu Port Prihatin buat julung kalinya bagi tahun 2026 telah menyampaikan bakul makanan kepada seramai 100 penerima daripada kaum Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Bintulu Port Holdings Berhad dalam membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato’ Ruslan Abdul Ghani berkata, pihaknya komited menyumbangkan bakul makanan bersempena empat perayaan utama setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Beliau berkata, empat perayaan utama tersebut ialah Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Krismas.

“Bagi tahun ini, kita memulakan sumbangan dengan sambutan Tahun Baharu Cina, diikuti Hari Raya Aidilfitri, seterusnya Gawai Dayak dan Krismas,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh General Manager, Group Stakeholder Relations, Maslihah Tioh pada Majlis Sumbangan Bakul Makanan Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di Kuil Si Thian Hock Teck Wang Hock Shu Moo (Kuan Yin Tong) di sini, petang tadi.

Pengagihan bakul makanan tersebut diharap dapat memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina serta menceriakan para penerima dalam menyambut perayaan berkenaan.

Wartawan/Video: ISKANDAR SHAH 

RTM