Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Majang Sempurnakan Smart Barrier Gate SIPSB
17 Jul 2025


BINTULU, 17 Julai - Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi menyempurnakan sistem ‘auto-gate’ Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB) di Wisma Samalaju, Bintulu, semalam.

Berucap pada majlis ringkas tersebut, Majang memberitahu, SIPSB digalakkan untuk terus meneroka teknologi baharu dan penambahbaikan operasi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, tetapi juga kepada keseluruhan rantaian nilai maritim dan logistik di Sarawak.

SIPSB adalah terminal pelabuhan pertama di Sarawak yang menggunakan sistem pagar automatik (smart barrier gate) berteknologi tinggi, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terhadap inovasi.

Komitmen ini turut menunjukkan usaha ke arah mewujudkan persekitaran pelabuhan pintar yang akan menjadi contoh baharu dalam industri.

Sistem Pagar Automatik Pintar ini menggunakan gabungan empat teknologi utama, iaitu Pengecaman Aksara Optik (OCR), Rakaman Imej Automatik (AIR), Pengecaman Plat Kenderaan (LPR) dan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang akan meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan serta memudahkan proses keluar masuk ke pelabuhan.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif SIPSB, Sufri Bohari; Ketua Pegawai Operasi BPHB, Matshalleh Mohd Etli dan tetamu yang lain.

Jabatan Penerangan Sarawak