Agihan wakalah bantu persediaan Ramadan di Bintulu
Maslihah mewakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad menyampaikan replika cek agihan wakalah kepada wakil Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan, Bintulu.
BINTULU: Yayasan Bintulu Port meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat dengan mengagihkan sebanyak RM100,000 kepada masjid, surau dan institusi pendidikan di Bintulu dalam Program Jelajah Kasih Yayasan Bintulu Port dan Tanggungjawab Sosial Korporat Bintulu Port Prihatin pada Khamis.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad, Dato’ Ruslan Abdul Ghani, agihan ini merupakan sebahagian daripada usaha Yayasan Bintulu Port untuk menyantuni keperluan masyarakat setempat serta menyokong pendidikan dan pembangunan ummah.
“Agihan RM100,000 di Bintulu melibatkan empat buah masjid, tiga surau, empat surau premis (surau sekolah) dan empat institusi pendidikan termasuk madrasah serta sekolah tahfiz. Selain itu, bantuan khas turut diberikan kepada sekolah angkat Bintulu Port iaitu Surau SMK Baru,” katanya.
Ruslan berkata demikian menerusi ucapan yang disampaikan Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan BPHB, Maslihah Tioh.

Maslihah merakam gambar bersama para penerima agihan wakalah.
Beliau turut memaklumkan, agihan wakalah ini telah dilaksanakan di beberapa kawasan lain, antaranya Dalat (RM69,000), Kuching (RM113,000), Matu (RM39,000), Sarikei (RM33,000), Sibu (RM39,000), Miri (RM39,000) dan beberapa individu asnaf terpilih (RM18,000).
Amanah wakalah yang diterima daripada Baitulmal Sarawak ini bertujuan memastikan agihan zakat disalurkan secara berkesan kepada golongan yang memerlukan serta mengekalkan ketelusan dan amanah dalam pengurusan zakat, ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu atas kerjasama erat dalam proses pemilihan penerima dan penyerahan wakalah.
Beliau berharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima, terutamanya menjelang ketibaan bulan Ramadan.
Suara Sarawak