Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Sarawak giat peralihan tenaga bersih menuju hab tenaga serantau yang berdaya tahan
19 Jun 2026


 

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Hijau BPHB di sini, hari ini. Foto TVS

BINTULU, 19 Jun: Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga serantau yang berdaya tahan dengan menekankan strategi pembangunan hijau sebagai asas kepada kestabilan ekonomi jangka panjang dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata Sarawak telah merangka pelbagai pelan strategik termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), Sustainability Blueprint 2030 serta Energy Transition Policy (CETP) bagi memastikan negeri ini kekal kompetitif dan tidak terkesan secara langsung oleh ketidaktentuan global.

“Dalam situasi geopolitik yang tidak menentu, strategi tenaga menjadi sangat penting. Sarawak sudah bersedia dengan pelbagai pelan jangka panjang untuk memastikan keselamatan tenaga, kestabilan ekonomi dan kemampanan pembangunan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Hijau BPHB di sini, hari ini.

Jelasnya lagi usaha Sarawak membangunkan tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, serta teknologi rendah karbon bukan sahaja bertujuan mencapai sasaran sifar bersih malah mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pengeksport tenaga bersih ke rantau ASEAN.

“Pelaksanaan projek berskala besar seperti tenaga solar, hidro-hibrid serta carbon capture, utilisation and storage (CCUS) membuktikan keseriusan Sarawak dalam membina ekosistem tenaga masa depan yang lebih stabil dan mampan,” jelasnya.

Tambahnya inisiatif hijau yang dilaksanakan oleh Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) mencerminkan peranan sektor industri dalam menyokong agenda negeri, termasuk penggunaan teknologi elektrifikasi dan sistem operasi rendah karbon.

“Pendekatan industri seperti ini penting kerana ia menjadikan dasar kerajaan lebih praktikal dan memberi kesan langsung kepada pengurangan emisi serta peningkatan kecekapan operasi,” katanya.

Transformasi tenaga Sarawak ujarnya bukan sahaja bersifat ekonomi, tetapi juga strategi jangka panjang untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta keterjaminan masa depan generasi akan datang. – TVS