Sarawak terapkan teknologi satelit dan ICT dalam inisiatif COMOS: Hamden
KUCHING: Sarawak telah menerapkan teknologi satelit penderiaan jauh serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam inisiatif penguatkuasaan sistem pemantauan pengawasan berterusan (COMOS).
Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata, ia selari dengan matlamat untuk memperkasakan penguatkuasaan dalam operasi perhutanan.
Dengan mengintegrasikan sistem tersebut katanya, ia turut membantu dalam membuat keputusan supaya tindakan wajar dapat diambil oleh jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.
“Selain itu, JHS ketika ini juga mempunyai penguasaan udara dengan adanya pesawat pelbagai guna DA42-MPP yang dilengkapi dengan sensor hiperspektral serta pemantauan udara.
“Justeru, inisiatif ini memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan meningkatkan kecekapan dan ketelusan penguatkuasaan dalam menangani aktiviti pembalakan haram,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2024 yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hutan Simpan Sabal di Serian, hari ini.
Sementara itu, Hamden berkata, tema Hari Hutan Antarabangsa bagi tahun ini iaitu ‘Forests and Innovation: New Solutions for a Better World’ amat bertepatan dengan inisiatif kerajaan Sarawak dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan hutan sentiasa dipertingkatkan dengan teknologi terkini dan mencipta inovasi dalam bidang perhutanan.
Bagi membantu pelaksanaan inisiatif Restorasi Landskap Hutan Sarawak (FLR) katanya, JHS turut memanfaatkan teknologi bagi mengenal pasti kawasan terosot yang perlu dilaksanakan restorasi.
“Antaranya dengan penggunaan teknologi hiperspektral untuk mengenal pasti kawasan yang bersesuaian yang perlu ditanam semula,” jelas beliau.
Di samping itu katanya, JHS juga telah menyediakan rangkaian pendigitalan Sistem Pengesahan Kesahihan Kayu Sarawak (STLVS) dikenali sebagai Sistem Pendapatan Hutan dan Pengesanan Balak Sarawak (REVLOG).
Sistem itu katanya, telah diperkasakan dengan penambahan modul baharu sebagai ‘Forest Licensee Portal’ dan dikuatkuasakan penggunaannya pada 1 April 2023.
“Melalui penggunaan sistem ini, pihak pelesen dapat berurusan dengan JHS tanpa mengira masa sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi kedua- dua pihak.
“Selain itu, sistem ini juga dapat mengurangkan kos operasi kepada pihak pelesen di samping menyediakan satu platform perkongsian data dengan agensi-agensi lain,” katanya.
Selepas majlis itu, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara JHS dan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam aktiviti Pemulihan Landskap Hutan dan Kempen Penghijauan Sarawak.
MoU itu juga akan menggalakkan kerjasama operasi di kawasan pemulihan dalam Ladang Hutan Kekal yang ditetapkan, pembekalan dan pengeluaran anak benih, penglibatan dengan komuniti tempatan, perkongsian pengetahuan dan kemahiran melalui pembinaan kapasiti, latihan, serta lawatan sambil belajar.
Turut diadakan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan The Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Resources Sdn Bhd berkaitan cadangan kolaboratif projek buluh di negeri ini.