AZAM jalin kerjasama strategik dengan BPHB

Hassnal (tiga kanan) menyerahkan cenderamata kepada Mohamad Afiq.
BINTULU: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak terus memperluaskan jaringan kerjasama strategiknya dengan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) bagi meneroka potensi kolaborasi dalam bidang komunikasi strategik, pembangunan modal insan, pembangunan bakat serta pelaksanaan program berimpak tinggi di Sarawak.
Jurucakap AZAM berkata, sesi perbincangan strategik telah diadakan oleh kedua-duanya untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, ia termasuk dalam aspek pembangunan kepimpinan, komunikasi korporat, tanggungjawab sosial korporat (CSR), pembangunan bakat dan inisiatif pembangunan komuniti.
"AZAM membentangkan hala tuju baharu dalam pertemuan tersebut yang memfokuskan kepada komunikasi strategik, pembangunan kandungan digital serta pendekatan Komunikasi Partisipatori dalam memperkukuh penyampaian maklumat dan meningkatkan penglibatan masyarakat," katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Tambahnya, beberapa inisiatif strategik organisasi turut diperkenalkan termasuk Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026 serta berkongsi potensi kerjasama yang boleh diteroka bersama BPHB dalam menyokong pelaksanaan program pembangunan belia, komunikasi dan pembangunan modal insan.
Dalam pertemuan itu delegasi AZAM diketuai oleh Pengurus Komunikasi Strategik AZAM Sarawak Hassnal Hakim Junaidi bersama barisan pegawai Komunikasi Korporat AZAM Sarawak.
Manakala BPHB diwakili oleh Pengurus Jabatan Penjenamaan, Kumpulan Perhubungan Berkepentingan BPHB Mohamad Afiq Jamhari bersama barisan pegawai syarikat terbabit.
Katanya, AZAM berharap sesi perbincangan tersebut menjadi langkah awal ke arah membina hubungan kerjasama strategik yang lebih kukuh antara kedua-dua organisasi.
Jelasnya, ia turut diharap membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang menyokong pembangunan modal insan, memperkasa komunikasi strategik serta menyumbang kepada agenda pembangunan mampan Sarawak.
- olehAbang Ismail Abang Su'ud (Utusan Borneo)