80 UNIT REEF BALL DILABUHKAN, PULIHARA EKOSISTEM MARIN KUALA NYALAU
BINTULU, 30 Julai β Sebanyak 80 unit Reef Ball ditempatkan di perairan Kuala Nyalau menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat, CSR bagi memulihara dan memulihkan ekosistem marin yang terjejas akibat aktiviti pukat tunda haram.
Program itu merupakan kerjasama antara Pembinaan Tukun Bebola (Sarawak) Sdn. Bhd. (PTBSB) dan Sarawak Forestry Corporation SFC, dengan sokongan Bintulu Port Holdings Berhad, BPHB.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, inisiatif tersebut bertujuan mewujudkan habitat baharu bagi hidupan marin, meningkatkan sumber perikanan serta melindungi kawasan penangkapan ikan tradisional.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti nelayan di Kuala Nyalau, memandangkan sebahagian besar penduduk kampung bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan.
βIni sudah tentu akan menguntungkan para nelayan kita di sini, khususnya di Kampung Kuala Nyalau kerana ramai daripada mereka menjalankan aktiviti menangkap ikan,β katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Reef Ball Project Phase II di Bintulu, hari ini.
Reef Ball ialah struktur terumbu tiruan yang diperbuat daripada konkrit marin dan berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesies marin seperti ikan, krustasea, moluska serta organisma laut lain.
Struktur itu juga menggalakkan pertumbuhan batu karang selain bertindak sebagai penghalang fizikal, bagi mengelakkan aktiviti pukat tunda dasar di kawasan berkenaan.
Sejak tahun 2022, PTBSB telah menyumbang sebanyak 467 unit Reef Ball menerusi program CSR di beberapa lokasi perairan Sarawak termasuk Satang, Kabong, Kuala Rajang, Lawas dan Kuala Nyalau.
Pelaksanaan projek itu dijangka memberi impak positif kepada komuniti pesisir pantai, memperkukuh biodiversiti marin, meningkatkan hasil perikanan serta menyokong pembangunan ekopelancongan dan kelestarian sumber marin di Sarawak.
Wartawan dan Photo β ISKANDAR SHAH
'Yang sahih di RTM'