Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Kerjasama media perkukuh kedudukan Bintulu Port sebagai hab logistik dan pelabuhan hijau
12 Feb 2026


Mohamad Abu Bakar (empat dari kiri) memalu gendang sebagai simbolik Malam Penghargaan Media BPHB 2026 di sebuah hotel di Kuching, malam Rabu. Turut kelihatan ialah Ruslan (tiga kiri) serta tetamu kehormat lain.

Mohamad Abu Bakar (empat dari kiri) memalu gendang sebagai simbolik Malam Penghargaan Media BPHB 2026 di sebuah hotel di Kuching, malam Rabu. Turut kelihatan ialah Ruslan (tiga kiri) serta tetamu kehormat lain.

KUCHING: Kerjasama erat antara Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan media menjadi faktor utama kejayaan syarikat dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik dan perintis pelabuhan hijau Sarawak.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, kerjasama erat bersama media juga turut membantu meningkatkan kesedaran awam terhadap peranan strategik pelabuhan itu sebagai pintu masuk ekonomi utama di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

“Justeru ingin saya menyebut bahawa malam ini amat bermakna kerana ia didedikasikan untuk menzahirkan penghargaan ikhlas kami kepada rakan-rakan media atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama berterusan dengan Pelabuhan Bintulu selama ini,” katanya dalam ucapan sempena Malam Penghargaan Media Bintulu Port Holdings Berhad 2026 di sebuah hotel di Kuching malam Rabu.

Antara tetamu yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Lembaga Pengarah Dato Dr. Salihin Abang, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi dan Pengurus Besar, Group Stakeholder Relations BPHB Maslihah Tioh.

Beliau berkata sepanjang tahun 2025 sahaja, Bintulu Port telah disebut dalam media lebih 350 kali iaitu bersamaan purata satu liputan setiap hari.

“Sama ada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Mesyuarat Agung Tahunan, majlis bersama pihak berkepentingan mahupun acara korporat, pihak media sentiasa konsisten membuat liputan terhadap aktiviti kami tanpa mengira keadaan,” katanya.

Beliau mengambil peluang merakamkan penghargaan yang cukup tinggi kepada media elektronik seperti TV Sarawak (TVS) selain Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang konsisten menyiarkan pencapaian utama syarikat itu.

“Kami juga menghargai peranan media cetak seperti Utusan Borneo, The Borneo Post, The Edge, See Hua Daily, Dayak.daily dan sebagainya yang menjadi jambatan antara operasi pelabuhan dan masyarakat awam,” tegasnya.

Menurut beliau, kepimpinan Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut menjadi faktor utama kejayaan syarikat dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik dan perintis pelabuhan hijau.

“Di bawah kepimpinan beliau, kami terus memperkukuh peranan sebagai hab logistik utama serta menyokong pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang di Sarawak,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata Bintulu Port kini giat menaik taraf peralatan serta memperluas operasi digital sejajar aspirasi menjadi pelabuhan digital sepenuhnya menjelang 2030.

“Kami juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menyumbang lebih RM1 juta bagi penubuhan Anjung Kasih di Hospital Bintulu untuk kegunaan keluarga pesakit.

“Selain itu, kami akan berperanan sebagai rakan strategik bagi Sukan Olimpik Khas Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di Bintulu pada April ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri berikutan proses pemindahan pelabuhan daripada status persekutuan yang kini berada di peringkat akhir.

“Sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 kami komited untuk terus menambah baik prestasi dan melaksanakan sepenuhnya Sistem Operasi Pelabuhan ke arah menjadi pelabuhan digital sepenuhnya menjelang 2030,” katanya.

Utusan Borneo