PROGRAM KOMUNITIKU SAYANG, PERKASA KESELAMATAN KOMUNITI
MARUDI, 11 Julai – Program Komunitiku Sayang Siri Ke-7 yang berlangsung di Kampung Narum, menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai keselamatan kebombaan, kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar menerusi kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, ilmu dan pendedahan yang diperoleh menerusi program itu perlu dikongsi bersama masyarakat agar lebih ramai penduduk mendapat manfaat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti.
Menurut beliau, program seumpama itu turut menyediakan ruang kepada penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan, NGO untuk menyampaikan pandangan serta maklum balas, bagi membantu kerajaan merancang program yang lebih praktikal dan memenuhi keperluan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bintulu Port Holdings Berhad, BPHB serta agensi kerajaan dan pihak terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Program yang menghimpunkan kira-kira 120 peserta daripada empat kampung itu turut dihadiri Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani, barisan kepimpinan syarikat, wakil-wakil agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kebakaran, BPHB menyumbangkan 150 unit alat pemadam api jenis ABC Serbuk Kering seberat sembilan kilogram kepada peserta program.
Pada majlis sama, Yayasan Bintulu Port turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat, CSR kepada Kampung Narum berupa peralatan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Wartawan/FOTO : Catherine