Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

BPHB SUMBANG TV PINTAR 75 INCI KEPADA MASJID DARUSSALAM KAMPUNG BARU
26 Feb 2026


BINTULU, 26 Feb — Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menyumbangkan sebuah televisyen pintar bersaiz 75 inci kepada Masjid Darussalam Kampung Baru di sini bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan pengajian di kawasan itu.

Pengurus Besar Perhubungan Berkepentingan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh berkata sumbangan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para jemaah, khususnya bagi penganjuran kuliah agama, ceramah serta program pendidikan Islam.

Beliau berkata program tersebut merupakan inisiatif tahunan syarikat setiap kali menjelang Ramadan dengan pelaksanaan pelbagai program di beberapa masjid dan komuniti sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan setempat.

“Program ini merupakan program tahunan di mana setiap kali bulan Ramadan, kita akan mengadakan program di beberapa buah masjid dan juga komuniti, menunjukkan keprihatinan syarikat kepada komuniti serta memenuhi permintaan daripada pihak masjid,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu di Masjid Darussalam Kampung Baru pada petang tadi.

Tambah beliau, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) BPHB dalam menyokong institusi keagamaan serta memperkasa aktiviti pengajian di peringkat komuniti.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BPHB dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat selain menyumbang kepada pembangunan rohani masyarakat di Bintulu.

RTM