16 Pengusaha Perahu Tambang Terima Sumbangan RM8,000 daripada Bintulu Port Holdings
KUCHING: Sejumlah RM8,000 disumbangkan oleh Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) kepada 16 pengusaha perahu tambang yang terjejas akibat penganjuran Regatta Sarawak 2024.
Ini sekali gus menunjukkan komitmen serta keprihatinan syarikat tersebut terhadap warga tempatan, terutama sekali semasa program tersebut berlangsung.
Menurut BPHB dalam satu kenyataan, perahu tambang bukan sahaja menjadi pilihan pengangkutan yang popular, tetapi juga tarikan utama pelancong di Tebingan Sungai Kuching.
Justeru, pelaksanaan acara ini sememangnya memberi kesan negatif kepada operasi pengusaha perahu tambang.
Sementara itu, majlis penyerahan sumbangan diadakan di Corporate Box BPHB di Tebingan Sungai Kuching pada Jumaat.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani, sambil disaksikan oleh ahli Lembaga Pengarah dan lain-lain.