Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Bintulu Port Anjur Majlis Iftar, Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Sebauh
20 Mac 2025


SEBAUH: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), melalui Yayasan Bintulu Port meneruskan komitmennya dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menganjurkan Majlis Iftar Bersama Komuniti di Masjid Ar-Rahman Sebauh, malam tadi.

Majlis ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan memberikan sokongan kepada mangsa banjir yang terkesan pada Januari lalu.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan, BPHB menyumbangkan 10 unit meja dan 100 unit kerusi plastik kepada pengerusi Masjid Ar-Rahman Sebauh, Johari Mahdom, untuk kegunaan harian masjid.

Selain itu, sebanyak 60 bakul makanan turut diagihkan kepada golongan asnaf, B40, dan ibu tunggal sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani, dalam ucapannya menegaskan kepentingan CSR dalam mengukuhkan hubungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Bintulu Port berharap dengan sumbangan ini, ia dapat menceriakan hati para penerima bantuan. Kami berdoa agar usaha murni ini dapat diteruskan dalam membantu komuniti yang memerlukan,” katanya.

Selain berbuka puasa, majlis diserikan dengan ceramah khas oleh penceramah jemputan Ustaz Mohd Firdaus Mohamad Seman.