Kerjasama Bintulu Port Holdings dengan MAXIS Perkenalkan Teknologi 5G Dalam Pendigitalan Pelabuhan
BINTULU: Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MAXIS pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS24).
BPHB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ruslan Abdul Ghani, dan Pengurus Besar Teknologi Maklumat Kumpulan BPHB, Ramzi Shafiee.
Manakala MAXIS pula diwakili oleh Ketua Hal Ehwal Korporat, Mariam Bevi Bacha, bersama pasukan pengurusan mereka.
Dalam kenyataannya, BPHB memaklumkan bahawa kerjasama ini bertujuan untuk memperkenalkan teknologi 5G dalam usaha pendigitalan pelabuhan.
Ia diharapkan dapat meningkatkan keselamatan serta memperbaiki pemantauan alam sekitar dan kecekapan operasi.
Majlis pertukaran MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, yang menunjukkan sokongan terhadap inisiatif pendigitalan Pelabuhan Bintulu.
Inisiatif ini dijangka akan memberi impak positif kepada operasi pelabuhan dan alam sekitar di kawasan sekitar.