Pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu dijangka muktamad Jun
AMAR Mohamad menyampaikan anugerah kepada pengamal media pada Majlis Makan Malam Bintulu Port Media Appreciation Night malam tadi. FOTO Nadim Bokhari
Kuching: Kerajaan Sarawak optimis proses pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Pusat akan dimuktamadkan Jun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ketika ini proses itu sudah selesai kira-kira 70 peratus dan menunggu masa untuk dibawa ke Parlimen.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut butiran perkara yang masih belum diselesaikan itu.
"Premier (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) akan memberikan butiran lengkap mengenai perkembangan terkini proses pengambilalihan itu.
"Ada beberapa perkara sedang diuruskan sebelum dibawa ke Parlimen dan Sarawak memang sudah bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih Lembaga Pelabuhan Bintulu," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) berkata demikian pada Majlis Apresiasi Media Pelabuhan Bintulu di sini, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Ruslan Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat; Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Helmi Hamid; Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Hamdan Sarbini.
Abang Johari dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini dilapor berkata, tiga perkara utama yang menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak dalam melangkah ke tahun 2024, iaitu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, mempunyai syarikat penerbangan sendiri dan mempunyai kepentingan utama dalam bank perdagangan.
Menurutnya, hasrat untuk mengambil semula Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja kerana ia sepatutnya berada di bawah kuasa Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan tetapi juga kerana Sarawak perlu merancang secara menyeluruh pembangunan pelabuhannya yang merangkumi keseluruhan negeri termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber.
Sementara itu, Ruslan berkata, BPHB sebagai operator utama pengendalian Lembaga Pelabuhan Bintulu kini fokus kepada usaha untuk merealisasikan visi Abang Johari untuk meletakkan Sarawak sebagai kuasa ekonomi baharu serta menerajui Malaysia dalam ekonomi hijau dan tenaga lestari.
"Kami menyedari infrastruktur yang kukuh serta pengendalian pelabuhan yang cekap menjadi kunci dalam mencapai visi itu.
"Justeru, kami menetapkan sasaran untuk menjadi 'Pelabuhan Tenaga Hijau Utama' yang menyediakan tenaga hijau dan bersih pada masa depan," katanya.