Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Kontinjen Special Olympics Sarawak juara keseluruhan dengan 174 pingat
27 Apr 2026


Fatimah menyampaikan piala kepada Ketua Kontinjen SO Sarawak Datin Dayang Mariani Abang Zain selepas diumumkan juara keseluruhan pada temasya Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia Ke-6 Sarawak 2026.

Kontinjen Special Olympics Sarawak juara keseluruhan dengan 174 pingat

BINTULU: Kontinjen Special Olympics Sarawak (SO Sarawak) muncul juara keseluruhan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia Ke-6 Sarawak 2026 selepas mengutip 174 pingat keseluruhan sepanjang temasya yang berlangsung dari 24 hingga 26 April.

Daripada jumlah itu, kontinjen tuan rumah meraih 52 pingat emas, 69 perak dan 53 gangsa, sekali gus mendominasi sebahagian besar acara yang dipertandingkan.

Fatimah menyampaikan piala kepada Atlet Terbaik Lelaki Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia Ke-6 Sarawak 2026, Muhammad Azmeer Hafif.

Acara akuatik menyumbang 11 pingat emas, 14 perak dan 13 gangsa, diikuti padang dan balapan yang menyumbang 11 emas, 22 perak dan 15 gangsa.

Sementara itu, acara bocce menyaksikan SO Sarawak meraih tujuh emas, 10 perak dan tujuh gangsa, manakala bowling menyumbang sembilan emas, sembilan perak dan sembilan gangsa.

Bagi acara ping pong, kontinjen itu mengutip lima emas, empat perak dan empat gangsa, manakala bola keranjang menyumbang enam emas, empat perak dan satu gangsa.

Fatimah menyampaikan piala kepada Atlet Terbaik Wanita Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia Ke-6 Sarawak 2026, Raeena Jauhera.

Dalam acara badminton pula, SO Sarawak membawa pulang tiga emas, enam perak dan empat gangsa.

Bagaimanapun, bola sepak menjadi satu-satunya acara yang tidak dimenangi SO Sarawak apabila kejuaraan dimenangi Special Olympics Kedah.

Prestasi konsisten sepanjang temasya itu turut menyaksikan SO Sarawak dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik, sekali gus melengkapkan pencapaian cemerlang mereka pada edisi kali ini.

Sementara itu, Muhammad Azmeer Hafif Mohd Faizal dari SO Kedah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki selepas memenangi lima pingat emas dalam acara renang.

Bagi kategori wanita, Raeena Jauhera Mohd Razzdee dari SO Selangor dipilih sebagai Atlet Terbaik Wanita selepas meraih tiga emas dan dua perak dalam acara renang.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah diiringi Presiden Special Olympics Bintulu Chapter merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Ruslan Abdul Ghani.

Fatimah dan Ruslan bersama kenamaan lain merakam gambar dengan para pemenang temasya Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia Ke-6 Sarawak 2026.

Suara Sarawak