Bintulu Port Hargai Pelanggan, Rakan Strategik dan Sedia Terokai Teknologi Hijau
KUCHING, 12 Nov - Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) hargai pelanggan dan rakan strategik menerusi Majlis Customer Centric Night di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Presidennya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata dalam ucapannya, pencapaian yang dicapai adalah hasil kerjasama BPHB dengan semua pelanggan dan rakan strategik mereka.
"Di sebalik setiap kapal yang berlabuh dan setiap kargo yang bergerak, terdapat rangkaian manusia yang berdedikasi, profesional dan teguh yang menjayakan segalanya dan setiap daripada anda yang terlibat memainkan peranan yang tidak ternilai dalam perjalanan Bintulu Port," katanya.
Menurut Ruslan lagi, seiring dengan perkembangan industri pelabuhan, BPHB juga bersedia untuk berubah melalui inovasi.
"Kami menerima transformasi digital daripada sistem pelabuhan pintar yang meningkatkan keterlihatan dan komunikasi kepada teknologi hijau yang mengurangkan jejak karbon kami.
"Inisiatif ini bukan sahaja pelaburan dalam teknologi, tetapi kita juga bergerak ke arah menjadi Pelabuhan Hijau yang moden dan mampan," jelasnya.
Beliau memberitahu, memandangkan landskap tenaga global beralih ke arah kelestarian, BPHB juga bersedia untuk memainkan peranan penting dalam sektor baharu seperti hidrogen hijau dan logistik tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu katanya, Bintulu Port juga kekal teguh dalam komitmen untuk menjadi pelabuhan pilihan berikutan lokasi dan keupayaan strategiknya, tetapi juga kerana hubungan dan kecemerlangan perkhidmatan secara konsisten.
Ruslan juga menyeru agar semua rakan strategik boleh berkongsi aspirasi, inovasi dan bekerjasama dalam mengubah Bintulu Port menjadi denyutan nadi pelabuhan bertaraf dunia, hijau, dan dipertingkatkan secara digital di Sarawak.
Pada majlis itu juga, turut diadakan pengiktirafan sulung Anugerah Customer Centric BPHB iaitu satu tradisi baharu yang memberi penghormatan kepada kecemerlangan, kesetiaan, dan perkongsian merentasi komuniti dan pelanggan yang dihargai termasuk pengiktirafan pencapaian cemerlang bagi 11 kategori yang mewakili pelbagai industri dan perkhidmatan yang memacu ekosistem Bintulu Port.
Kategori pengiktirafan tersebut adalah Pukal Cecair (Petroleum) dan (Minyak Sawit), Kargo Pecah Pukal (Break Bulk), Kargo Pukal Kering (Dry Bulk), Kontena (Tempatan), Kontena (Pindah Kapal/Transhipment) dan Pangkalan Bekalan (Supply Base).
Turut disampaikan ialah Anugerah Dimensi Baharu (New Dimension Award), Anugerah Kecemerlangan (Excellence Award), Anugerah Pembina Nilai (Value Builder Award) dan Anugerah Pinnacle yang berprestij.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang hadir bersama dengan isteri, Datin Amar Dato Baduyah Bujang serta ahli-ahli lembaga pengarah BPHB yang lain. - JaPEN