Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Program Kembali Ke Sekolah 2025 tajaan Yayasan Bintulu Port
19 Dis 2024


BINTULU: Program Kembali Ke Sekolah 2025 – Bintulu Port Prihatin tajaan Yayasan Bintulu Port terus menunjukkan komitmen terhadap komuniti dengan menaja kelengkapan sekolah untuk 200 murid dari keluarga berpendapatan rendah di tiga sekolah rendah terpilih di Bintulu, iaitu SK Kampung Baru, SK Orang Kaya Mohammad, dan SK Tanjung Batu.

Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Maslihah Tioh berkata program ini, yang bermula sejak 2012, bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan dan memastikan murid-murid kekal bersemangat meneruskan persekolahan.

“Program Bintulu Port Prihatin ini telah banyak membantu ramai murid sejak ia diperkenalkan.

‘Kami berharap usaha ini dapat menaikkan semangat mereka untuk kekal di sekolah sehingga tamat pembelajaran.

“Menurut kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia, faktor kurang kemampuan dikenal pasti sebagai salah satu punca utama masalah keciciran di sekolah.

“Justeru, inisiatif ini dianggap signifikan dalam memberi sokongan kepada murid untuk kekal komited dalam pendidikan mereka,” katanya.

Maslihah berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Ruslan Abdul Ghani pada program Kembali Ke Sekolah 2025- Bintulu Port Prihatin di salah sebuah hotel pada Khamis.

Melalui kerjasama strategik bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bintulu, murid-murid yang terpilih menerima kelengkapan sekolah seperti beg galas, alat tulis, pakaian seragam, kasut dan stokin.

Mereka juga dibawa ke pasaraya terpilih untuk memilih barangan tersebut dengan bimbingan guru pengiring dan sukarelawan dari kalangan kakitangan BPHB.

Seramai 22 guru pengiring terlibat dalam program ini, yang bukan sahaja menyediakan bantuan material tetapi juga menyuntik semangat baharu kepada murid-murid dan keluarga mereka menjelang sesi persekolahan tahun hadapan.