Ruslan: Bintulu mampu anjur temasya bertaraf dunia
Ruslan membaling buah kelapa sebagai simbolik perasmian Majlis Makan Malam Penghargaan SOGNM Ke-6 Sarawak 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
BINTULU: Kejayaan penganjuran Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia (SOGNM) Ke-6 Sarawak 2026 di Bintulu, baru-baru ini bukan sahaja mengangkat nama bandar ini sebagai tuan rumah yang berwibawa, malah mencipta penanda aras baharu dalam penganjuran temasya sukan inklusif di negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa Bintulu memiliki keupayaan dari segi organisasi, logistik dan sumber manusia untuk mengendalikan acara berskala besar bertaraf kebangsaan, malah setanding dengan penganjuran bertaraf antarabangsa.
Ruslan menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Bintulu.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja diukur melalui kelancaran pertandingan, malah lebih penting menerusi pengalaman bermakna yang dinikmati atlet berkeperluan intelektual dari seluruh negara dalam suasana yang menghargai kepelbagaian, kemampuan dan maruah setiap individu.
“Bintulu memikul tanggungjawab besar sebagai tuan rumah untuk menunjukkan makna sebenar keterangkuman. Setiap atlet diraikan sebagai individu yang mempunyai keupayaan, potensi dan nilai tersendiri.
“Tema sebenar temasya ini bukan mengenai kemenangan semata-mata, tetapi bagaimana kita membuka ruang dan peluang kepada semua individu untuk menyerlahkan kemampuan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan SOGNM Ke-6 Sarawak 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Ruslan berkata, persiapan temasya tersebut melibatkan perancangan rapi selama beberapa bulan yang merangkumi aspek logistik, pengangkutan, penginapan, protokol perubatan, pengurusan risiko dan operasi pertandingan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan atlet sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran itu turut membuktikan kemampuan Special Olympics Bintulu Chapter yang baharu ditubuhkan kira-kira setahun lalu untuk mengendalikan temasya berskala besar dengan cemerlang hasil kerjasama erat antara jawatankuasa penganjur, sukarelawan dan pelbagai agensi yang terlibat.
Katanya, antara pencapaian membanggakan sepanjang temasya ialah pembangunan sistem teknologi maklumat yang merangkumi laman sesawang rasmi dan sistem pemarkahan pertandingan yang menerima pengiktirafan daripada komuniti Special Olympics Asia Pasifik.
“Sistem ini bukan sahaja memudahkan pengurusan pertandingan, malah telah dipuji kerana menetapkan standard baharu dalam pengendalian temasya sukan khas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa pembaharuan turut diperkenalkan pada edisi kali ini termasuk Anugerah Johan Keseluruhan, Johan Sukan, Atlet Terbaik dan Pingat Keberanian bagi menghargai semangat juang serta ketabahan atlet.
Ruslan turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat, Sabrina Cheong; jawatankuasa induk; pasukan logistik dan operasi; sukarelawan; petugas perubatan; pegawai teknikal; pengurus pertandingan; pasukan media dan komunikasi; penaja; serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan temasya tersebut.
Menurutnya, majlis penutupan yang meraikan setiap peserta tanpa mengira kedudukan turut mencerminkan komitmen Sarawak dalam memperkukuh budaya keterangkuman dan penerimaan masyarakat terhadap golongan kelainan upaya intelektual.
“Kita bukan sahaja berjaya menganjurkan temasya ini dengan cemerlang, malah telah menetapkan penanda aras baharu kepada penganjur pada masa hadapan.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa walaupun Bintulu sebuah bandar yang sedang berkembang, kita mampu menganjurkan temasya bertaraf dunia dengan penuh profesionalisme dan semangat kebersamaan,” katanya.