Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Pemodenan sistem Bintulu Port bantu capai sifar karbon bersih menjelang 2050
19 Jun 2026


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Hijau BPHB di sini, hari ini. Foto TVS

BINTULU, 19 Jun: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) serius dengan komitmennya terhadap agenda kelestarian apabila melancarkan pelbagai inisiatif hijau menuju peralihan operasi pelabuhan rendah karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, aspek kelestarian bukan sekadar pematuhan terhadap keperluan semasa, sebaliknya menjadi teras utama dalam operasi dan strategi jangka panjang syarikat.

“BPHB komited untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), selain berpandukan kerangka kelestarian EESG yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta United Nations Global Compact (UNGC).

“Kelestarian adalah sebahagian daripada operasi kami, bukan sekadar keperluan pematuhan. Kami komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian & Hijau BPHB di sini, hari ini.

Menurutnya, antara inisiatif utama yang dilancarkan termasuk penggunaan dua unit electric reach stacker, tujuh unit hybrid rubber-tyred gantry (RTG), serta penambahan unit terminal tractor elektrik (TTT) yang kini sedang dalam fasa pengembangan selepas pelaksanaan percubaan awal.

Tambahnya, BPHB turut melaksanakan pemasangan sistem solar photovoltaic (PV) secara berfasa dengan kapasiti pertama kira-kira 150 kilowatt-jam, diikuti fasa kedua yang dijangka mencapai 400 kilowatt-peak pada tahun hadapan.

“Penggunaan motosikal elektrik turut diperkenalkan dengan 15 unit bagi tujuan ujian, selain penggantian sebahagian besar kenderaan operasi kepada kenderaan elektrik yang turut dilengkapi kemudahan pengecasan,” katanya.

BPHB kini turut meneroka penggunaan kapal tunda elektrik serta kapal tunda berkuasa hidrogen, selain cadangan penubuhan stesen pengisian hidrogen dengan kapasiti awal 10 kilogram sehari menerusi kerjasama strategik bersama rakan teknologi dari China.

Katanya, usaha tersebut bertujuan menjadikan Bintulu Port bukan sekadar pintu perdagangan utama, tetapi juga sebagai pemangkin perubahan dalam operasi pelabuhan mampan dan berinovasi tinggi di rantau ini.

“Dengan menggabungkan tenaga boleh diperbaharui, elektrifikasi operasi dan pemodenan sistem, kita sedang membina asas pelabuhan yang lebih cekap, mampan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya. – TVS