Bintulu Port Hargai Peranan Media - Jambatan Penghubung dengan Masyarakat Setempat
BINTULU , 24 December: Media bukan sekadar perantara, tetapi jambatan utama yang menghubungkan Bintulu Port dengan masyarakat setempat, khususnya di kawasan Bintulu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani, yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Samalaju Industrial Port Sdn Bhd, Sufri Bohari, menegaskan bahawa peranan media sangat penting dalam menyampaikan kejayaan dan inisiatif syarikat kepada masyarakat.
“Media bukan sekadar perantara; anda adalah jambatan utama antara Bintulu Port dan masyarakat. Peranan anda dalam menyampaikan cerita kejayaan kami, fungsi syarikat, dan sumbangan kami kepada komuniti tempatan adalah amat signifikan.Malah, penyampaian maklumat yang tepat dan jelas amat penting bagi mengelakkan salah faham dan mengukuhkan hubungan kami dengan masyarakat."
"Sebagai sebuah organisasi yang berteraskan kepercayaan dan integriti, kami amat menyedari bahawa setiap perkongsian daripada media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap kami. Maka, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap maklumat yang dikongsi adalah tepat dan seimbang”ujarnya
Sufri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Media di Bintulu, semalam.
Beliau turut berkongsi pelbagai pencapaian Bintulu Port sepanjang tahun 2024, termasuk Perasmian Borneo Oil and Gas Supply Base,Penerimaan pensijilan Green Port, dan Penubuhan Anjung Kasih Hospital Bintulu.
Selain itu, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti Bintulu Port Prihatin dan Bintulu Port Komuniti Ku Sayang telah berjaya mengukuhkan hubungan syarikat dengan komuniti setempat.
Majlis ini dihadiri oleh lebih 20 pengamal media di Bintulu, termasuk wakil dari Suara Sarawak, The New Sarawak Tribune, See Hua Daily News, Sin Chiew Daily News, Unit Komunikasi Sarawak, Bintulu Info, Bintulu News, RTM, dan Penerangan Cawangan Bintulu.