Yayasan Bintulu Port hulur sumbangan sempena Tahun Baharu Cina
BINTULU: Yayasan Bintulu Port, melalui program Bintulu Port Prihatin, telah menyumbang sebanyak 50 bakul makanan kepada golongan B40 berbangsa Cina di Bintulu sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.
Sumbangan simbolik disampaikan oleh Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Maslihah Tioh, di perkarangan Tua Pek Kong Bintulu pada Selasa lalu.
Menurut Maslihah, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan syarikat.
Sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan, khususnya menjelang musim perayaan, dan diharapkan dapat membawa kegembiraan serta semangat perayaan yang lebih bermakna kepada mereka.
Bintulu Port berharap, melalui inisiatif ini, komuniti sentiasa terbela, sekali gus mengukuhkan lagi komitmen mereka dalam menyokong pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat setempat, katanya.
Pengerusi Persatuan Penganut Tua Pek Kong Bintulu, Sim Yong Huat, turut hadir.