Komitmen Pelabuhan Bintulu kepada inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan
BINTULU: Pelancaran Pusat Berfokuskan Pelanggan (Customer Centric Centre, CCC) Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) hari ini mencerminkan komitmen pengendali Pelabuhan Bintulu terhadap inovasi, kelestarian, dan kecemerlangan perkhidmatan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, berkata bahawa pembangunan CCC adalah langkah penting dalam transformasi Pelabuhan Bintulu untuk memenuhi keperluan masa depan yang lebih hijau dan berdaya saing.
“CCC ini bukan sekadar sebuah pusat operasi baharu, tetapi lambang bagaimana BPHB mengutamakan inovasi berfokuskan pelanggan sambil menyokong agenda pembangunan lestari Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan CCC dan Inisiatif Lestari BPHB di Wisma Kontena BPHB, Jalan Tanjung Kidurong, pada Isnin.
Majang menjelaskan bahawa CCC akan memperkemas pengurusan pelawat dan kontraktor, memusatkan perkhidmatan pelanggan, serta mempertingkatkan protokol kemasukan ke pelabuhan untuk meningkatkan keselamatan dan pengalaman pengguna.
Menurut Majang, pelabuhan hari ini bukan sahaja perlu menjadi pintu masuk perdagangan, tetapi juga model kepada pertumbuhan hijau dan inovasi pintar.
“Seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, pelabuhan kita mesti mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan tenaga, dan mengaplikasi teknologi pintar,” ujarnya.
Beliau turut memuji usaha BPHB yang mengambil langkah proaktif dalam mendigitalkan operasi, memperkenalkan kenderaan elektrik, dan peralatan berkuasa bahan api alternatif serta menerapkan amalan terbaik dalam pemuliharaan biodiversiti marin.
“Langkah-langkah ini membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar boleh bergerak seiring,” tambah beliau.
Majang, yang juga ADUN Samalaju, menggesa pengendali pelabuhan lain di Malaysia dan rantau ini mencontohi pendekatan Pelabuhan Bintulu dalam membina ekosistem pelabuhan yang pintar, hijau, dan berorientasikan pelanggan.
“Sebagai hab perdagangan strategik Asia Tenggara, Sarawak mesti bersedia memenuhi permintaan global terhadap logistik yang mampan.
CCC hari ini adalah satu mercu tanda kepada arah tuju tersebut,” katanya.
Beliau yakin dengan pelancaran CCC, BPHB akan terus menjadi contoh terbaik dalam industri pelabuhan dan logistik di negara ini.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani, turut hadir.
Majlis pelancaran CCC ini dihadiri oleh barisan pengurusan kanan BPHB, wakil agensi kerajaan, serta pemain industri utama.