Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Special Olympic Malaysia National Game 2026 Di Bintulu April Ini
10 Feb 2026


Edisi Ukas Image

BINTULU: Semua atlet yang menyertai Special Olympics Malaysia National Games 2026 (SOMNG26) akan menerima pingat sebagai simbol penghargaan terhadap keberanian dan semangat penyertaan mereka, selaras dengan falsafah inklusif temasya berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Presiden Special Olympics Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pendekatan itu bertujuan memastikan setiap atlet dihargai tanpa mengira kedudukan dalam pertandingan, sekali gus membina keyakinan diri dan motivasi dalam kalangan peserta berkeperluan khas.

“Selain pingat emas, perak dan gangsa, peserta lain yang turut bertanding juga akan menerima pingat sebagai pengiktirafan terhadap keberanian mereka mencuba,” katanya ketika berucap pada sidang media sempena SOMNG26 di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan aspek kebajikan dan kesihatan atlet turut diberi perhatian utama menerusi pelaksanaan Program Atlet Sihat sepanjang kejohanan berlangsung.

Katanya, program tersebut merangkumi saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, penglihatan, pendengaran serta kecergasan fizikal bagi memastikan atlet berada dalam keadaan selamat dan sihat sepanjang pertandingan.

“Program ini penting untuk mengesan sebarang masalah kesihatan lebih awal supaya tindakan susulan dapat diambil,” ujarnya.

Program Atlet Sihat itu akan diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, Bintulu dengan penglibatan pasukan perubatan serta sukarelawan terlatih.

Selain itu, seramai 793 peserta membabitkan atlet, jurulatih, ketua delegasi dan pengiring dari 11 negeri dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, sekali gus menjadikannya antara penganjuran Special Olympics terbesar di peringkat kebangsaan.

Beliau berharap penganjuran SOMNG26 dapat memperkukuh pembangunan sukan inklusif, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi serta kebolehan golongan istimewa di negara ini. -EDISI UKAS