Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

UiTM Sarawak juara Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026
19 Ogo 2026


Pembahas UiTM Team A dan Swinburne Team 1 bergambar bersama tetamu serta wakil penaja selepas berakhirnya PSDC 2026 malam Selasa.

Pembahas UiTM Team A dan Swinburne Team 1 bergambar bersama tetamu serta wakil penaja selepas berakhirnya PSDC 2026 malam Selasa.

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak muncul juara Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 selepas menewaskan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak pada peringkat akhir di Dewan Jubli UiTM Kampus 1 di sini pada Selasa.

Kemenangan itu menyaksikan UiTM Team A menjadi pasukan pertama menjulang Piala Premier Sarawak, sekali gus mencipta sejarah pada edisi sulung pertandingan berkenaan.

Dalam peringkat akhir, Swinburne Team 1 bertindak sebagai pihak kerajaan, manakala UiTM Team A mewakili pihak pembangkang membahaskan usul berkaitan keutamaan pelaburan Pelabuhan Bintulu antara pembangunan bakat atau infrastruktur, yang mencetuskan perdebatan kritis dan bernas daripada kedua-dua pasukan.

Panel adjudikasi memberikan kemenangan kepada UiTM Team A selepas menilai keseluruhan penghujahan, analisis, strategi, sanggahan serta keupayaan kedua-dua pasukan mempertahankan pendirian masing-masing sepanjang perdebatan.

Kemenangan itu melayakkan UiTM Team A membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta Piala Premier Sarawak manakala Swinburne Team 1 menerima RM7,000 sebagai naib juara.

Sementara itu, Roy Makaay Jeffery daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan PSDC 2026 berdasarkan prestasi sepanjang kejohanan.

Ethan Hope Eric daripada UiTM pula meraih gelaran Pendebat Terbaik Pusingan Akhir.

Pertandingan itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn selaku tetamu kehormat mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg .

Dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Sagah, Abang Johari menekankan bahawa pembangunan Sarawak perlu bergerak seiring dengan pembangunan bakat dan modal insan, khususnya dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi ekonomi masa hadapan.

“Teknologi sahaja tidak mencukupi. Infrastruktur sahaja tidak mencukupi sama juga modal sahaja tidak mencukupi.

"Pada akhirnya, manusialah yang menentukan sama ada peluang yang kita cipta dapat diterjemahkan kepada kemajuan...the greatest asset Sarawak has is not in the soil beneath our feet... it’s our people," katanya.

Tambahnya, pembangunan Sarawak yang semakin pesat dalam sektor baharu dan bernilai tinggi perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan, khususnya dalam menyediakan generasi muda yang mempunyai pengetahuan, kemahiran komunikasi dan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Sementara itu, Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak Datuk Ismawi Ismuni berkata, PSDC diwujudkan bukan sekadar untuk menguji kemampuan mahasiswa berhujah tetapi untuk menyediakan ruang yang membolehkan mereka membincangkan secara matang isu yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan negeri.

Katanya, ia bukan sekadar pertandingan untuk menentukan siapa yang paling petah bercakap.

"Ia merupakan satu platform untuk membina keyakinan, pemikiran kritikal, kemahiran penyelidikan, komunikasi serta keupayaan anak-anak muda untuk melihat sesuatu isu daripada pelbagai perspektif," katanya.

Bagi AZAM, kita mahu anak muda yang bukan sahaja mampu bercakap dengan yakin, tetapi mampu berfikir dengan matang, berhujah berdasarkan fakta dan menghormati perbezaan pandangan.

"Nilai-nilai ini penting dalam membentuk generasi yang mampu menjadi pemimpin dan menyumbang kepada masa depan Sarawak".

Menurut beliau, generasi muda perlu diberi lebih banyak ruang untuk memahami perkembangan yang berlaku di Sarawak, melihat sesuatu isu daripada pelbagai perspektif dan mempunyai keberanian intelektual untuk mengemukakan pandangan secara konstruktif.

PSDC 2026 mengetengahkan pendekatan yang menghubungkan perdebatan dengan isu pembangunan sebenar menerusi usul berkaitan ekonomi, industri, teknologi, tenaga, pembangunan modal insan serta perubahan yang sedang berlaku di Sarawak.

Peserta turut mendapat pendedahan secara langsung daripada rakan industri termasuk Bintulu Port, Press Metal dan SACOFA, yang membolehkan mereka memahami konteks sebenar di sebalik beberapa isu yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada perbincangan intelektual sepanjang kejohanan.

Pertandingan akhir menjadi kemuncak perjalanan 74 pendebat daripada 18 pasukan yang mewakili 10 institusi pengajian tinggi di Sarawak, selepas saingan dikecilkan menerusi pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir sebelum dua pasukan terbaik bertemu di pentas akhir.

Dianjurkan oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan tema 'Engaging Minds, Advancing Sarawak', PSDC diperkenalkan sebagai platform perdebatan antara institusi pengajian tinggi yang memberi ruang kepada generasi muda untuk terlibat dalam wacana mengenai isu semasa dan masa depan pembangunan Sarawak.

Utusan Borneo