Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

CSR BPHB tumpu kebajikan komuniti, sokong pengusaha tempatan, pelihara warisan budaya
01 Nov 2026


Anuar (dua kiri) bersama Dr Abdul Rahman dan Mohamad Abu Bakar pada Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangan dan Kolaboratif Program CSR sempena Sarawak Regatta 2026 hari ini.

Anuar (dua kanan) bersama Dr Abdul Rahman dan Mohamad Abu Bakar pada Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangan dan Kolaboratif Program CSR sempena Sarawak Regatta 2026 hari ini.

KUCHING: Pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sempena Sarawak Regatta 2026 memberi tumpuan kepada kebajikan komuniti, sokongan terhadap pengusaha tempatan serta pemeliharaan warisan budaya Sarawak.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Anuar Ismail berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat, selain memberi tumpuan kepada prestasi perniagaan.

“Antara inisiatif dilaksanakan ialah penyerahan barangan keperluan asas kepada Lembaga Pelawat Asrama Akhlak Kuching serta sumbangan kelengkapan kepada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bintawa bagi membantu meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna,” katanya dalam laporan  Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangan dan Kolaboratif Program CSR sempena Sarawak Regatta 2026 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

BPHB turut menyokong pengusaha perahu penambang tempatan menerusi sumbangan bagi membantu kelangsungan mata pencarian mereka, sekali gus menghargai peranan pengangkutan air tradisional itu sebagai sebahagian daripada warisan kehidupan masyarakat Sarawak.

Dalam usaha memelihara seni tradisional, BPHB menjalin kerjasama dengan Hikayat Sulaman Enterprise bagi menyokong kelestarian seni sulaman kain keringkam, warisan tekstil tradisional wanita Sarawak yang turut berpotensi membuka peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan.

Selain itu, BPHB menaja penganjuran Perauk Sarong di Kuching dan menyokong Pickleball Fiesta 2026 anjuran MAKSAK Wanita Sarawak sebagai usaha menggalakkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan komuniti menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.

Anuar berkata, Sarawak Regatta bukan sekadar acara sukan air, malah merupakan warisan budaya yang melambangkan identiti, perpaduan dan kebanggaan rakyat Sarawak.

Menurutnya, penyertaan BPHB dalam Sarawak Regatta untuk tahun keempat berturut-turut menjadi platform memperkukuh hubungan syarikat dengan komuniti serta menyokong pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri yang juga Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Dato Baduyah Bujang.

Utusan Borneo