Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Masjid Darul Huda baharu di Kampung Siol Kandis beri keselesaan kepada penduduk beribadat
24 Jan 2025


KUCHING: Penyiapan Masjid Darul Huda baharu di Kampung Siol Kandis yang bernilai RM5.2 juta memberi keselesaan kepada penduduk sekitar untuk beribadat.

Dibina di atas tapak berkeluasan 4,574 meter persegi, masjid baharu itu mampu memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa serta dilengkapi pelbagai kemudahan.

Pada 2021, projek bina baharu Masjid Darul Huda di Kampung Siol Kandis telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bernilai RM3.9 juta dan dana wakaf daripada sumbangan penduduk dalam dan luar kampung sebanyak RM1.3 juta.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan projek bernilai RM5.2 juta.

Pembinaan masjid itu telah bermula pada 11 Januari 2021 dan siap sepenuhnya pada 10 Mac 2024, dan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Usaha membangunkan masjid baharu di Kampung Siol Kandis itu bermula sejak 2019 dengan penubuhan sebuah jawatankuasa.

Berdirinya masjid baharu itu adalah hasil daripada wakaf tanah oleh Allahyarham Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki dan Datin Sri Lily Johari serta Allahyarham Tuan Abdul Rahim Moharif sekeluarga.

Terdahulu sebelum merasmikan masjid, Abang Johari turut menunaikan solat Jumaat di masjid baharu itu sebelum melakukan simbolik penyerahan van jenazah sumbangan Yayasan Bintulu Port.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman.