Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

SUKAN OLIMPIK ISTIMEWA 2026 PERKASA INKLUSIVITI DI SARAWAK
26 Apr 2026


BINTULU, 26 April — Sukan Olimpik Istimewa Malaysia 2026 bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform penting dalam memperkasa keyakinan diri serta mengangkat martabat individu berkeperluan khas.

Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan inklusif perlu terus diperkukuh bagi memastikan golongan berkeperluan khas tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Sukan Olimpik Istimewa ini memperlihatkan bagaimana nilai-nilai PCDS 2030 dapat diterjemahkan menjadi realiti melalui peluang, sokongan dan pengiktirafan kepada atlet berkeperluan khas. Marilah kita menjadikan keterangkuman sebagai budaya bersama dalam membina Sarawak yang progresif, berdaya saing dan tidak meninggalkan sesiapa pun,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan para atlet yang mengambil bahagian sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat dalam membuktikan keupayaan luar biasa mereka.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Sim Kui Hian, pada Majlis Perasmian Sukan Olimpik Istimewa Malaysia Ke-6 di Dewan Suarah Bintulu, malam tadi.

Temasya itu menghimpunkan seramai 708 peserta daripada 11 kontinjen seluruh negara, melibatkan 422 atlet berkeperluan khas, 67 unified partners serta 219 delegasi yang terdiri daripada jurulatih, pegawai kontinjen dan sukarelawan.

Kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 26 April itu mempertandingkan beberapa acara termasuk trek dan padang, bocce, boling, bola sepak, badminton, akuatik, ping pong serta bola keranjang.

Wartawan dan foto: ISKANDAR SHAH

Berita RTM Sarawak