Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

Anjung Kasih YKN Hospital Bintulu ditaja sepenuhnya oleh Bintulu Port Holdings
19 Sep 2024


BINTULU: Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Bintulu menjadi Anjung Kasih YKN pertama yang menerima tajaan penuh daripada syarikat korporat, Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menyokong usaha kebajikan dan kesihatan masyarakat.

Beliau menekankan pentingnya kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang ada di setiap negeri.

Justeru, beliau menyeru semua syarikat swasta untuk berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha meningkatkan kemudahan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Nancy berkata pembinaan Anjung Kasih YKN Hospital Bintulu tidak melibatkan bangunan baharu.

Sebaliknya ia menggunakan bangunan sedia ada, seperti bilik jururawat yang mungkin sudah usang.

“Proses tender untuk pembinaan sedang dijalankan, dan tarikh operasi akan ditetapkan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian(MoA) penubuhan Anjung Kasih YKN Hospital Bintulu antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YKN, Nordina Haron, dengan CEO Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani, di perkarangan lobi Hospital Bintulu pada Khamis.

Anjung Kasih YKN Hospital Bintulu akan menyediakan 67 katil untuk pesakit serta pelbagai fasiliti lain seperti bilik penginapan, ruang solat, ruang rehat, bilik mandi, tandas dan ruang makan.

Semuanya ditaja sepenuhnya oleh BPHB.

Nancy juga menjelaskan bahawa pesakit yang memerlukan perkhidmatan ini bukan sahaja dari Bintulu, tetapi juga dari kawasan seperti Belaga dan Mukah.

Perkara ini menjadikan pembinaan ini sangat penting untuk mengatasi masalah kekurangan ruang.

Anjung Kasih YKN di Hospital Bintulu adalah yang keempat di Sarawak selepas Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri.

Sejak 2006, sebanyak 19 Anjung Kasih telah beroperasi di seluruh negara untuk memberi manfaat kepada lebih 104,714 penghuni.

Pada majlis tersebut, Nancy turut menyaksikan acara ringkas penyerahan replika cek berjumlah RM1 juta daripada BPHB kepada YKN.