Samalaju Industrial Port Cipta Sejarah Laksana Sistem Pagar Automatik Pintar Pertama di Sarawak
Ruslan semasa berucap pada perasmian Sistem Pagar Automatik Pintar (Smart Barrier Gate System) Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd.
BINTULU: Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. (SIPSB), anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), melakar sejarah apabila menjadi pelabuhan pertama di Sarawak yang melaksanakan Sistem Pagar Automatik Pintar (Smart Barrier Gate System) berasaskan teknologi terkini, selaras dengan usaha transformasi digital yang agresif di bawah inisiatif kumpulan.
Menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani, pelaksanaan sistem tersebut merupakan antara inisiatif awal di bawah agenda digitalisasi kumpulan, yang bertujuan mempertingkat kecekapan operasi dan memperkukuh keselamatan pelabuhan.
“Sistem ini adalah satu langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem pelabuhan pintar dan mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi serta kecekapan berterusan.
“Ia juga meletakkan Samalaju dan Bintulu Port pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab logistik termaju di rantau ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Sistem Pagar Automatik Pintar (Smart Barrier Gate System) oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju, Datuk Majang Renggi, pada Rabu.
Menurut Ruslan lagi, sistem ini dilengkapi empat teknologi utama iaitu Optical Character Recognition (OCR), Artificial Image Recording (AIR), License Plate Recognition (LPR), dan Radio Frequency Identification (RFID).
“OCR berfungsi untuk mengenal pasti nombor kontena secara automatik melalui imej, yang menurut saya mampu mengurangkan masa pemprosesan sehingga 80 peratus berbanding kaedah manual sebelum ini.
“AIR pula menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan ketepatan pengecaman kargo, manakala LPR memudahkan proses keluar masuk kenderaan sah secara automatik tanpa gangguan.
“RFID pula memastikan kawalan akses yang selamat dan lancar serta memperkukuh sistem keselamatan kawasan pelabuhan,” katanya sambil menambah bahawa pelaksanaan sistem ini hanyalah permulaan kepada pelbagai lagi projek digitalisasi yang sedang dirancang dan dilaksanakan oleh kumpulan.
Antara yang sedang dalam perancangan termasuklah Port Operating System (POS), Sistem Smart CCTV berasaskan kecerdasan buatan (AI), drone pintar bersarang automatik (Nested Drone), Sistem Pengiraan Digital, Sistem Maklumat Pengurusan Trafik Kapal versi baharu, serta Pusat Operasi Bersepadu (IOC).
Beliau turut memaklumkan bahawa Bintulu Port kini dalam proses untuk melaksanakan automasi penuh operasi pelabuhan, menjadikannya antara pelabuhan pertama di Malaysia yang mengambil langkah tersebut secara menyeluruh.
“Kami telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini bagi membolehkan pelaksanaan automasi penuh dilaksanakan. Ia akan mengubah landskap operasi pelabuhan kami dan memberi manfaat besar kepada semua pengguna,” jelasnya.