Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

PSDC platform bina pemimpin muda
19 Ogo 2026



 

Majlis Malam Akhir dan Penyampaian Hadiah Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 di Dewan Jubli UiTM Sarawak pada Selasa. Foto Nadim Bokhari (TVS)

KUCHING, 19 Ogos: Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 bukan sekadar medan menentukan pasukan terbaik, malah menjadi platform membina keyakinan, pemikiran kritikal, kemahiran penyelidikan dan komunikasi dalam kalangan mahasiswa Sarawak.

Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni berkata, pertandingan itu turut melatih peserta melihat sesuatu isu daripada pelbagai perspektif, membina hujah berdasarkan fakta serta menghormati perbezaan pandangan.

Menurutnya, nilai tersebut penting dalam membentuk generasi pemimpin yang bukan sahaja mampu berkomunikasi dengan yakin, malah mempunyai keupayaan mendengar, memahami perbezaan dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan matang.

“Seorang pendebat belajar untuk mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menilai dan berfikir sebelum bersuara. Nilai-nilai ini amat penting dalam membentuk pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Akhir dan Penyampaian Hadiah PSDC 2026 di Dewan Jubli, UiTM Sarawak, di sini, malam tadi.

Pertandingan berkenaan menyaksikan penyertaan 74 mahasiswa daripada 10 institusi pengajian tinggi serta penglibatan 32 panel adjudikasi daripada pelbagai latar belakang, termasuk institusi pengajian tinggi, sekolah dan organisasi lain.

Ismawi menjelaskan, walaupun hanya satu pasukan dinobatkan sebagai juara, setiap peserta tetap membawa pulang pengalaman, keyakinan dan keberanian untuk menyuarakan pandangan yang nilainya lebih besar daripada kemenangan semata-mata.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan penganjuran pertandingan itu hasil kerjasama antara AZAM, institusi pendidikan, industri, media dan pelbagai rakan strategik.

Beliau merakamkan penghargaan kepada penaja utama, Bintulu Port Holdings Berhad (Bintulu Port), Sarawak Consolidated Industries Berhad (SACOFA) dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad (Press Metal), selain rakan radio CATS FM dan KupiKupi FM, rakan penyiar Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TV Sarawak (TVS), rakan media sosial Sarawak Edition serta UiTM Cawangan Sarawak sebagai rakan venue.

Ismawi turut menegaskan sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terhadap program pembangunan kapasiti anak muda memberi mesej jelas bahawa suara, idea dan pembangunan generasi muda mempunyai tempat dalam agenda pembangunan wilayah ini.

Beliau berkata, AZAM akan terus menyediakan ruang dan peluang kepada anak muda Sarawak untuk mengembangkan potensi, membina keyakinan serta menyumbang kepada masyarakat.

“Kepimpinan tidak bermula dengan gelaran. Ia bermula dengan keberanian untuk menyumbang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru peserta meneruskan budaya membaca, bertanya, berfikir dan menyuarakan pandangan walaupun pertandingan telah berakhir.

Katanya, pengalaman di pentas debat boleh menjadi asas kepada perjalanan lebih besar peserta untuk menjadi pemimpin dalam kerajaan, industri, akademik, perniagaan mahupun masyarakat.

“Apabila kita membangunkan generasi muda, kita sebenarnya sedang membantu membentuk masa depan Sarawak,” jelasnya.-TVS