MLNG terima Anugerah Pinnacle, pengiktirafan individu tertinggi daripada BPHB
KUCHING: Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) menerima Anugerah Pinnacle, pengiktirafan individu tertinggi daripada Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) atas sumbangan luar biasa dan kerjasama jangka panjangnya dengan pelabuhan itu.
Anugerah itu disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, yang juga pengerusi BPHB, semasa sambutan Customer Centric Nite 2025 (Malam Berpusatkan Pelanggan 2025) pelabuhan itu yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam semalam.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MLNG Syazwan Abdullah atau Laga Jenggi hadir menerima anugerah tersebut.
Anugerah Pinnacle yang berprestij itu mewakili kemuncak pencapaian dan kecemerlangan perkongsian, meraikan sumbangan luar biasa, kerjasama teguh dan usaha mencapai kecemerlangan yang konsisten.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHP Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata, selama lebih 40 tahun MLNG telah berdiri teguh bersama Bintulu Port, memacu pertumbuhan, inovasi dan kebolehpercayaan.
"Tahun demi tahun, mereka telah menjadi teras perjalanan kemajuan bersama kami.
"Pada tahun 2025 sahaja, MLNG mencapai 17.7 juta tan metrik LNG dan LPG (gas petroleum cecair) yang mengagumkan, menggariskan peranan pentingnya dalam meletakkan Bintulu sebagai hab eksport tenaga utama Malaysia.
"Dedikasi, kecemerlangan operasi dan komitmen teguh syarikat telah menetapkan standard kecemerlangan yang tiada tandingan dalam sektor tenaga dan logistik," kata Ruslan.
Beliau juga mengiktiraf ekosistem pelanggan yang pelbagai BPHB - bermula dari operator LNG dan petroleum hingga barisan kontena - semuanya memainkan peranan penting dalam mengekalkan daya tahan serta pertumbuhan Bintulu Port.
Selain Anugerah Pinnacle, kategori lain yang diperkenalkan oleh BPHB dalam Anugerah Customer Centric yang julung kali diadakan itu antaranya Anugerah Pembina Nilai, Anugerah Kecemerlangan, Anugerah Dimensi Baharu, Anugerah Kontena (Pemindahan), Anugerah Kontena (Tempatan), Anugerah Pangkalan Bekalan dan Anugerah Pukal Kering.
Menjelas lanjut Ruslan berkata, Anugerah Customer Centric BPHB diperkenalkan bagi memberi penghormatan kepada pencapaian dan perkongsian cemerlang di seluruh komuniti pelanggan pelabuhan.
Setiap kategori anugerah katanya, bukan sahaja mewakili prestasi operasi tetapi kepercayaan, kerjasama dan pertumbuhan bersama yang berkekalan.
Ruslan berkata, acara itu menyatukan pemain industri utama, rakan kongsi dan pelanggan sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada kejayaan berterusan pelabuhan.
Menjelaskan bahawa penganjuran majlis itu didedikasikan untuk menghormati perkongsian yang membentuk asas operasi BPHB, Ruslan berkata: “Berpusatkan pelanggan adalah teras budaya korporat kami. Pelanggan kami bukan sahaja penting kepada operasi kami, mereka juga merupakan nadi alam semesta kami.”
Beliau juga menekankan lima budaya korporat pelabuhan iaitu berpusatkan pelanggan, meningkatkan usaha, fokus penyelesaian, kepentingan hasil dan didorong nilai, semuanya sejajar untuk memberi kecemerlangan dan responsif terhadap keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.
“Di sebalik setiap kapal yang berlabuh dan setiap kargo yang bergerak, terdapat rangkaian orang yang berdedikasi, profesional, teguh dan bersemangat yang memungkinkan semuanya,” tegasnya. - Utusan Borneo