Langkau ke kandungan utama Langkau ke footer

Berita Bintulu Port

PENDUDUK TERJEJAS BANJIR DIMINTA URUS DOKUMEN HILANG
16 Jan 2026


May be an image of one or more people and text

BINTULU , 16 Jan - Penduduk yang terjejas akibat banjir di sekitar Bintulu disaran mendapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan, bagi memudahkan urusan susulan melibatkan kehilangan dokumen penting.

Penduduk yang kehilangan dokumen penting seperti sijil kelahiran dan dokumen persekolahan perlu segera membuat laporan kepada pihak berkenaan, bagi melancarkan urusan penggantian dokumen.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, Iskandar Turkee berkata, tindakan awal itu penting bagi memastikan kebajikan penduduk, khususnya pelajar yang terjejas akibat banjir, terus terbela.

“Dengan adanya sumbangan pada hari ini, saya berharap ia dapat meringankan beban penduduk. Bagi mereka yang kehilangan dokumen penting, ambil tindakan sewajarnya dan boleh merujuk kepada Penghulu Aidil untuk mendapatkan pengesahan, termasuk urusan berkaitan persekolahan.”ujarnya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir di Kampung Kuala Segan, petang tadi.

Beliau turut memaklumkan, pihak pendidikan dengan kerjasama Yayasan Sarawak akan membantu pelajar yang terjejas akibat banjir di sekitar Bintulu.

Sementara itu, 48 bakul makanan telah disumbangkan oleh Bintulu Port Holdings Berhad menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat, CSR di bawah inisiatif Bintulu Port Prihatin, selain 48 bakul makanan daripada Pusat Khidmat Rakyat N67 Jepak, bagi membantu penduduk terjejas di Kampung Kuala Segan.

Sebanyak 65 penerima di Kampung Ulu Sebauh turut menerima sumbangan yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh, yang mewakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani.

Berita RTM Sarawak