Bintulu Port Holdings Berhad santuni penduduk Kampung Hulu Nyalau
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melalui Yayasan Bintulu Port menyantuni penduduk dalam Program Safari Ramadan Majlis Iftar Bersama Komuniti Kampung Hulu Nyalau di Balai Raya kampung berkenaan pada Rabu.
Yayasan Bintulu Port dalam satu kenyataan berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu mendapat kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Islam (JKI) Bintulu Port dan penduduk Kampung Hulu Nyalau.
"Program ini merupakan inisiatif Bintulu Port untuk merapatkan hubungan dengan komuniti dan membantu golongan yang memerlukan melalui sumbangan yang diberikan," katanya.
Menurutnya, program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti bergotong-royong memasak dan menyediakan bubur pedas untuk berbuka puasa antara kakitangan syarikat dan penduduk kampung.
Selain itu katanya, penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 42 keluarga yang memerlukan dan sumbangan kemudahan alat siar raya kepada Jawatankuasa Masjid Darul Ibadah Kampung Hulu Nyalau turut diadakan.
Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani.
Program itu turut dihadiri Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat BPHB merangkap Pengerusi program, Maslihah Tioh, ahli JKI Bintulu Port, pegawai dan kakitangan syarikat Bintulu Port dan penduduk setempat.