Bintulu Port In News

Bintulu Port Untung RM200 Juta Pada 2016

22 April 2017

KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) semalam mengumumkan prestasi luar biasanya, apabila mencatat pendapatan sebanyak RM583.62 juta sepanjang tahun lalu, yang meningkat 6.62 peratus atau RM36.26 juta berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Tan Sri Ali Hamsa berkata, hasil ini membolehkan syarikat tersebut menikmati keuntungan belum cukai sebanyak RM200.98 juta, pencapaian yang 19.29 peratus atau RM32.5 juta lebih berbanding tahun 2015.

“Keuntungan selepas cukai pula diumumkan sebanyak RM149.84 juta, 17.48 peratus atau RM22.27 juta lebih tinggi berbanding pencapaian tahun sebelumnya sebanyak RM127.57 juta,” katanya dalam laporan tahunan syarikat.

Kejayaan ini kata Ketua Setiausaha Negara itu, disumbangkan oleh kenaikan kesemua kargo syarikat bairpun berhadapan persekitaran ekonomi yang mencabar.

 

“Tahun ini syarikat kumpulan menyaksikan peningkatan pengendalian kargo sebanyak 3.7 peratus, iaitu 46.45 juta tan berbanding 44.81 juta tan pada tahun sebelumnya.

“Pengendalian kapal gas asli cecair (LNG) pula meningkat 0.6 peratus kepada 25.24 juta tan berbanding 25.09 juta tan pada tahun sebelumnya.

Kata Ali lagi, sebanyak 277,711 kontena dikendalikan Pelabuhan Bintulu sepanjang tahun lalu, meningkat 14 peratus berbanding 243,699 kontena pada tahun sebelumnya.

“Ini melibatkan 7,497 singgahan kapal berbanding 7, 350 pada tahun 2015.

Pada tahun lalu katanya lagi, pelabuhan tersebut telah berjaya memenangi kontrak menyediakan kemudahan “base support” untuk syarikat minyak dan gas seperti Petronas Cari Gali Sdn Bhd, Petronas Floating LNG  Sdn Bhd dan Murphy Oil Sarawak untuk tempoh kontrak tiga ke lima tahun.

Jelasnya lagi, kontrak ini melibatkan perkhidmatan penyediaan kawasan penyimpanan seperti gudang dan ruang terbuka, peralatan bagi pengendalian kargo, pengendalian penumpang, pemaliman, perkhidmatan container carrying units (CCU) dan sebagainya.

“Bintulu Port Sdn Bhd juga memberi tumpuan kepada sektor kargo seperti minyak sawit, kontena, baja, produk kayu, produk kelapa sawit dan biomass.

Sebuah lagi anak syarikat kumpulan, Biport Bulkers Sdn Bhd (BBSB) pula mengharungi tahun getir 2016 dengan mengendalikan 3.65 juta tan minyak kelapa sawit, pencapaian tertinggi sejak 2004.

“Ketika ini BBSB menguasai 95 peratus daripada pengendalian minyak sawit di seluruh Sarawak dengan pelanggannya termasuklah Syarikat Kumpulan Wilmar, Sime Darby, Sarawak Oil Palms dan Kirana.

Pembinaan dermaga ketiga di Edible Oil Jetty pula katanya, amat membantu kapal-kapal tangki bersaiz kecil kerana ia meningkatkan masa pusingan singgahan kapal dan juga masa menunggu kapal.

Tan Sri Ali Hamsa dilantik Pengerusi Bintulu Port Holdings Berhad sejak 1 November 2013.

Sumber: SARAWAKVOICE
Back