Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Sarawak, Kemboja teroka kerjasama ekonomi dalam pertanian, tenaga dan logistik
07 Oct 2025


PHNOM PENH, 7 Okt: Lawatan rasmi delegasi Kerajaan Sarawak ke Kemboja membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertanian, tenaga dan perkhidmatan logistik.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, objektif utama lawatan tersebut adalah untuk meneroka potensi kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

“Sepanjang lawatan, delegasi Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat kepada beberapa pemimpin utama Kemboja termasuk Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan; Setiausaha Negara Kementerian Perdagangan serta Setiausaha Negara Kementerian Lombong dan Tenaga.

“Delegasi turut berpeluang melawat kilang beras milik Khmer Foods Group di Wilayah Kompong Speu bagi menilai keupayaan industri padi Kemboja yang kini berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Santebindith Neth Savoeun yang juga Wakil Khas kepada Perdana Menteri Kemboja, Samdech Moha Bovor Thipadei Hun Manet.

Menurutnya, semasa pertemuan dengan Setiausaha Negara Kementerian Perdagangan, pihak Kemboja turut memberi gambaran menyeluruh mengenai landskap ekonomi negara itu serta mengenal pasti beberapa bidang berpotensi untuk dijalinkan kerjasama, antaranya pertanian, minyak dan gas serta pembangunan pelabuhan.

Selain itu, turut dibincangkan ialah cadangan penubuhan sekolah dan universiti antarabangsa di Sarawak.

“Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) yang menawarkan kursus dalam bidang khusus seperti aeroangkasa, digital, tenaga hijau serta industri minyak dan gas.

“Ini antara bidang yang boleh diteroka bersama Kemboja,” jelas Dr. Abdul Rahman.

Dr. Abdul Rahman turut melahirkan rasa kagum terhadap kemajuan sektor pertanian Kemboja yang mencatat pengeluaran padi melebihi 14 juta tan pada tahun 2024 serta eksport kumulatif lebih 21 juta tan padi dan beras antara 2018 hingga 2024.

Dalam konteks perdagangan dua hala, sebanyak 98 peratus import Sarawak dari Kemboja terdiri daripada bijirin, dengan jumlah dagangan mencecah hampir RM300 juta pada tahun ini.

“Melihat kepada pencapaian yang memberangsangkan ini, Sarawak berminat untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang penanaman serta pembangunan industri padi,” katanya.

Dalam pertemuan bersama Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Tuan Yang Terutama Dith Tina, kedua-dua pihak turut bersetuju memperkukuh pertukaran pengetahuan dan teknologi, termasuk varieti padi, bagi meningkatkan hasil pertanian serta daya saing sektor tersebut.

Selain pertanian, delegasi Sarawak turut mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Kementerian Lombong dan Tenaga, Cheap Sour, berhubung peluang kerjasama dalam sektor petroleum dan gas.

Hari ini, delegasi juga bertemu dengan Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan, Peng Ponea bagi membincangkan pembangunan infrastruktur dan pelabuhan termasuk potensi pelabuhan baharu sebagai hab logistik serantau.

Delegasi dijadualkan melawat Pelabuhan Kampot esok bagi meninjau potensi kerjasama lanjut dalam sektor logistik dan maritim.

Lawatan rasmi ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Sarawak dan Kemboja serta membuka ruang baharu kepada kerjasama ekonomi serantau yang lebih dinamik.

Turut hadir Tuan Yang Terutama Shahruddin Onn, Duta Besar Malaysia ke Kerajaan Kemboja, Menteri Kanan yang Bertanggungjawab terhadap Misi Khas, Tuan Yang Terutama Neak Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Datu Lester Matthew,Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak,Datu Sirai Daha, Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS, Dato Abang Arabi Abang Narudin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani. -TVS