
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. Foto Shaffiee Bakir (TVS)
BINTULU, 3 Ogos: Waris pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu kini mempunyai kemudahan penginapan sementara yang lebih selesa menerusi pembukaan Anjung Kasih Hospital Bintulu, sekali gus meringankan beban keluarga yang perlu menemani pesakit sepanjang tempoh rawatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Anjung Kasih Hospital Bintulu merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Yayasan Bintulu Port dan Hospital Bintulu.
Menurutnya, kemudahan itu direalisasikan menerusi tajaan penuh berjumlah RM1.9 juta daripada Yayasan Bintulu Port bagi menaik taraf sebuah bangunan kuarters jururawat menjadi pusat penginapan yang lebih selesa dan kondusif.
“Apabila kerajaan dan sektor korporat berganding bahu, lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya.
“Anjung Kasih ini diwujudkan khusus bagi menyediakan tempat penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu di sini hari ini.
Menurut Nancy, Anjung Kasih Hospital Bintulu merupakan Anjung Kasih ke-20 diwujudkan oleh Yayasan Kebajikan Negara di hospital kerajaan seluruh negara.
Katanya, kemudahan itu menyediakan 25 bilik penginapan termasuk sebuah bilik mesra Orang Kurang Upaya (OKU), yang mampu menempatkan sehingga 75 penghuni pada satu-satu masa.
Selain bilik penginapan, Anjung Kasih turut dilengkapi ruang tamu, bilik kaunseling, ruang aktiviti, pantri, surau, ruang membasuh serta pelbagai kemudahan asas lain bagi memastikan keselesaan waris pesakit.
Nancy berkata, sejak diperkenalkan pada 2006 sehingga Jun tahun ini, seramai 132,535 waris pesakit telah mendapat manfaat daripada kemudahan Anjung Kasih di seluruh negara.
Di Sarawak kini terdapat empat Anjung Kasih iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Bintulu.
Justeru, beliau mengajak lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, yayasan korporat dan organisasi lain untuk bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara dalam memperluaskan lagi inisiatif kebajikan seumpama itu.
“Saya percaya semakin ramai pihak berganding bahu, semakin ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu, selaras dengan pendekatan whole of society dalam memperkukuh agenda kebajikan negara,” katanya. – TVS