PHNOM PENH, 7 Okt: Delegasi Kerajaan Sarawak kini berada dalam lawatan kerja produktif ke Kemboja bagi mengadakan siri pertemuan peringkat tinggi yang bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala dan serantau dalam sektor-sektor ekonomi utama.
Delegasi tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Suruhanjaya Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Fokus utama misi itu adalah untuk memperdalam kerjasama dalam bidang penting seperti industri padi dan beras, pembangunan pelabuhan dan logistik serta kerjasama tenaga.
Dr. Abdul Rahman berkata, lawatan itu amat penting dalam memperluas kerjasama antarabangsa Sarawak yang merupakan tonggak utama dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, seterusnya menyokong usaha Malaysia memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.
Delegasi Sarawak turut disertai oleh pegawai kanan daripada Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Bintulu Port Holdings Berhad dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Delegasi tersebut mengadakan siri pertemuan rasmi dengan kementerian dan agensi berkaitan di bawah Kerajaan Diraja Kemboja.
Dr. Abdul Rahman dan delegasi turut berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Santebindith Neth Savoeun serta Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Kemboja, Peng Ponea.
Turut diadakan perbincangan langsung dengan rakan sejawat mereka dari Kemboja termasuk Dith Tina (Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan), Buon Sarakmony (Setiausaha Negara, Kementerian Perdagangan) dan Cheap Sour (Setiausaha Negara, Kementerian Lombong dan Tenaga) bagi meneroka peluang usaha sama serta berkongsi pengalaman pembangunan.
Lawatan itu dijangka menjadi asas kepada kerjasama masa depan dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pengurusan sumber secara mampan, sekali gus memperkukuh aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai model pembangunan ekonomi hijau dan inklusif terkemuka di rantau ini. – TVS