Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

80 tukun tiruan dipasang di perairan Kuala Nyalau
30 Jul 2026


Sebanyak 80 unit tukun bebola tiruan diturunkan di perairan Kuala Nyalau-Samalaju, hari ini bagi memulihkan ekosistem marin, meningkatkan sumber perikanan dan melindungi kawasan penangkapan ikan tradisional daripada pencerobohan bot pukat tunda.

BINTULU, 30 Julai: Sebanyak 80 unit tukun bebola tiruan diturunkan di perairan Kuala Nyalau-Samalaju hari ini bagi memulihkan ekosistem marin, meningkatkan sumber perikanan serta melindungi kawasan penangkapan ikan tradisional daripada pencerobohan bot pukat tunda.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, program berkenaan dilaksanakan susulan permintaan penduduk Kuala Nyalau yang sebahagian besarnya bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan.

Menurutnya, pemasangan tukun tiruan mampu mempercepat proses pemulihan ekosistem marin, sekali gus membantu meningkatkan populasi ikan dan hidupan laut lain.

“Program ini memberi banyak manfaat terutama dalam usaha memulihkan ekosistem marin. Sudah tentu ikan akan membiak dan bertambah, begitu juga hidupan laut lain seperti terumbu karang.

“Ia akan menguntungkan nelayan di kawasan ini, khususnya penduduk Kampung Nyalau kerana lebih 50 peratus daripada mereka bergantung kepada aktiviti menangkap ikan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penurunan Tukun Bebola Tiruan di Perairan Kuala Nyalau-Samalaju di sini, hari ini.

Majang menjelaskan, kewujudan tukun tiruan turut membantu mengurangkan pencerobohan bot pukat tunda yang boleh merosakkan terumbu karang serta menjejaskan pembiakan ikan.

“Dengan adanya tukun tiruan ini, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan pencerobohan bot pukat tunda yang merosakkan terumbu karang dan menjejaskan pertambahan populasi ikan.

“Jika usaha seperti ini tidak dilaksanakan, jumlah ikan di kawasan ini sudah tentu akan terus berkurangan,” ujarnya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan kerjasama Pembinaan Tukun Bebola (Sarawak) Sdn. Bhd. (PTBSB), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB).

Sebanyak 80 unit tukun bebola terdiri daripada 26 Ultra Ball, 46 Bay Ball dan lapan Layer Cake Reef Ball diturunkan menerusi program berkenaan bagi menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin di kawasan pesisir Kuala Nyalau.

TVS