DALAT: Komitmen Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bukan sekadar menyumbang, malah turun padang untuk bersama komuniti setempat amat dihargai oleh penduduk di Dalat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Program Bintulu Port Komunitiku Sayang Siri Ke-6 ini berjalan lancar dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.
“Saya amat menghargai komitmen yang diberikan BPHB dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak yang telah menjayakan program ini.
“Ia tentunya memberi manfaat kepada semua peserta yang hadir kerana mereka bukan sahaja diberi pendedahan teori, malah turut menjalani latihan praktikal yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Perasmian Program Bintulu Port Komunitiku Sayang Siri Ke-6, di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.
Fatimah menyaksikan pihak BPHB menyerahkan sumbangan wakalah Yayasan Bintulu Port kepada jawatankuasa surau dalam majlis tersebut.
Program ini tidak harus dilihat sebagai CSR, tetapi sebagai jambatan penghubung antara pihak korporat dan masyarakat.
Jelasnya, ini kerana, ia meningkatkan kesedaran keselamatan, memperkukuh ikatan sosial serta menyemai semangat bersatu padu antara satu sama lain.
Sehubungan itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut memberitahu bahawa Dalat bakal mempunyai Balai Bomba dan Penyelamat yang dijangka siap pada tahun 2027.
Jelasnya, projek pembinaan tersebut adalah di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-13).
Sementara itu, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani berkata, program ini adalah untuk menyantuni komuniti luar bandar dan pedalaman melalui pendekatan inklusif yang menyokong pembangunan sosial serta kesejahteraan hidup.
“Bagi Komunitiku Sayang Siri 6 kali ini, seramai 12 buah kampung yang terlibat sepanjang program berlangsung.
“Program ini juga mencerminkan komitmen CSR pihak kami dan misi membangun masyarakat berpengetahuan, selamat dan sejahtera.
“Ia menekankan tiga aspek kritikal iaitu keselamatan kebombaan, kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyumbang sebanyak 150 alat pemadam api kepada komuniti di Dalat dan Oya.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat dalam meningkatkan tahap keselamatan, kesedaran pencegahan kebakaran serta membina kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.
Pada masa sama, mereka turut menyerahkan sumbangan wakalah kepada 10 masjid dan 13 surau menerusi Yayasan Bintulu Port.
Tambahnya, diharapkan wang sumbangan tersebut dapat digunakan untuk memperlengkapkan kemudahan di masjid dan surau berkenaan.
RAKAM KENANGAN….Fatimah merakam kenangan bersama yang lain selepas majlis tersebut.