Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

World Cup Zumba Fiesta himpunkan 160 peserta
04 Jul 2026


Antara peserta menyertai World Cup Zumba Fiesta anjuran Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB)

BINTULU: Kira-kira 160 peserta terdiri daripada warga kerja, pihak berkepentingan dan rakan media memeriahkan World Cup Zumba Fiesta anjuran Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), semalam.

Program yang berlangsung selama sejam di bawah inisiatif Bintulu Port BeHealthy itu menyaksikan peserta daripada pelbagai organisasi dan latar belakang bergabung dalam sesi kecergasan yang bukan sahaja menguji daya tahan fizikal, malah mengeratkan hubungan serta semangat berpasukan.

Sejak awal program, suasana venue bertukar meriah apabila peserta mengikuti rentak muzik dan pergerakan zumba yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, sekali gus mencetuskan aura positif dan semangat kebersamaan.

BPHB dalam satu kenyataan berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam membudayakan gaya hidup sihat serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih cergas, produktif dan seimbang.

“World Cup Zumba Fiesta bukan sekadar aktiviti kecergasan, tetapi platform yang menyatukan warga kerja, rakan strategik dan komuniti dalam usaha memupuk budaya hidup sihat.

“Melalui program Bintulu Port BeHealthy, kami terus menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental, di samping memperkukuh hubungan dengan pihak berkepentingan menerusi aktiviti yang memberi manfaat bersama,” menurut kenyataan itu.

Menurut BPHB, sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan aktiviti berasaskan sukan dan kecergasan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta mampu menjadi medium yang berkesan untuk membina hubungan yang lebih erat antara pelbagai pihak.

Program berkenaan turut menonjolkan kepentingan kesihatan fizikal sebagai asas kepada pembentukan tenaga kerja yang mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran persekitaran kerja masa kini.

Sepanjang acara berlangsung, peserta dilihat bersemangat mengikuti setiap rutin senaman, sekali gus menggambarkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan amalan hidup aktif dan sihat.

BPHB berkata syarikat itu akan terus memperluaskan penganjuran program berteraskan kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporatnya.

Kejayaan World Cup Zumba Fiesta sekali lagi membuktikan bahawa aktiviti sukan dan rekreasi mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih sihat, bersatu dan produktif, selari dengan aspirasi BPHB untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat, katanya lagi.

Peserta merakam gambar kenangan selepas aktiviti World Cup Zumba Fiesta.

Nurul Shima Shahminon (Suara Sarawak)