Yusmin menyampaikan simbolik sumbangan seunit televisyen pintar 75 inci kepada Ismail dengan disaksikan Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan BPHB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh(tiga kiri).
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) memperhebat agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Program Jalinan Kasih Ramadan Bersama Komuniti sebagai usaha berterusan menyantuni komuniti dan memperkukuh jaringan bersama pemegang taruh di daerah ini.
Inisiatif melalui Yayasan Bintulu Port itu dilaksanakan sepanjang Ramadan dengan pengisian berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan, termasuk penyaluran sumbangan kepada golongan memerlukan serta institusi keagamaan.
Program berkenaan menjadi platform strategik syarikat untuk mendekati masyarakat secara lebih menyeluruh selain mencerminkan komitmen berterusan BPHB dalam memastikan kesejahteraan komuniti sentiasa diberi perhatian, bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi juga pembangunan sosial dan rohani.
Pada majlis yang diadakan di Masjid Darussalam Kampung Baru malam tadi, BPHB menyampaikan pelbagai sumbangan termasuk sebuah televisyen pintar 75 inci kepada pihak masjid bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pengajian dan kuliah agama.
Simbolik sumbangan disampaikan Naib Presiden / Ketua Pegawai Strategi, Strategi dan Pertumbuhan Kumpulan BPHB, Yusmin Zuhairi Adnan mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Datuk Ruslan Abdul Ghani kepada pengerusi Jawatankuasa Masjid Darussalam Kampung Baru, Ismail Razali.