Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Pantun hiasi 16 perahu tambang di Sungai Sarawak
27 Aug 2025


KUCHING, 27 Ogos: Sebanyak 16 perahu tambang di Kampung Boyan kini dihiasi empat rangkap pantun masing-masing hasil inisiatif Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) bagi memartabatkan pantun sebagai khazanah bangsa Melayu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyifatkan usaha itu unik kerana bukan sahaja berbentuk sumbangan, malah disusuli sentuhan kreatif melalui hiasan pada bumbung perahu tambang dengan pantun bertemakan perpaduan dan nasihat.

“Apabila perahu menyusuri Sungai Sarawak, ia bukan sekadar medium pengangkutan pelancong, tetapi juga platform bergerak yang membawa warisan bangsa.

“Anak muda, pelancong tempatan dan asing, serta masyarakat umum dapat melihat, membaca dan menghargai pantun dalam suasana santai tetapi penuh nilai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Datu Dr Sabariah Putit pada Majlis Perasmian Siri Pantun Bintulu Port Perahu Penambang Sungai Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh serta Ketua Pegawai Media TVS, Sardon Zainal.

Abdul Karim berkata, inisiatif syarikat korporat bukan sahaja membantu komuniti, malah berperanan memelihara budaya dan identiti bangsa sekali gus meninggalkan warisan bernilai untuk generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak pihak korporat dan swasta menyokong usaha pemeliharaan warisan agar ia kekal relevan dan bermanfaat kepada komuniti.

Sementara itu, Ruslan menerusi teks ucapan dibacakan Maslihah berkata, inisiatif itu turut membantu kelangsungan hidup pengusaha tambang apabila perahu mereka tampil lebih menarik kepada pelancong dan pengguna tempatan.

“Bahasa dan seni tidak boleh dibiarkan hilang ditelan zaman. Pantun bukan sekadar untuk dipamerkan di muzium, sebaliknya perlu terus hidup dalam komuniti sama ada di sungai, bandar, desa dan di hati masyarakat.

“Siri Pantun Bintulu Port ini adalah permulaan kepada inisiatif budaya yang inklusif, kreatif dan memberi impak tinggi. Inilah tanggungjawab sosial korporat kami untuk terus memartabatkan warisan sambil memberi nilai tambah kepada komuniti, pelancongan negeri dan pengusaha tambang,” katanya.

Pada majlis itu, BPHB turut menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM32,000 kepada pengusaha perahu tambang Sungai Sarawak.
 

TVS