
MARUDI, 11 Julai: Seramai kira-kira 120 peserta daripada empat kampung menerima sumbangan 150 unit alat pemadam api jenis ABC Serbuk Kering seberat sembilan kilogram menerusi Program Komunitiku Sayang Siri 7 di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, program seumpama itu bukan sahaja membekalkan peralatan keselamatan, malah memberi latihan dan pendedahan kepada masyarakat mengenai tindakan awal ketika berdepan kebakaran serta bencana lain.
Menurutnya, ilmu yang diperoleh sepanjang program perlu dikongsi dengan penduduk lain supaya lebih ramai masyarakat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya berharap peserta dapat menyebarkan ilmu yang dipelajari sepanjang tiga hari program ini kepada penduduk kampung masing-masing supaya kita dapat mengurangkan risiko dan menghadapi sebarang bencana dengan lebih bersedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Komunitiku Sayang Siri 7 di Marudi, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, latihan yang diberikan membolehkan komuniti bertindak sebagai pasukan respons awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.
“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini diperluaskan ke kawasan pedalaman lain termasuk Peluru bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima latihan kesiapsiagaan bencana,” tambahnya.
Sumbangan yang disampaikan kepada komuniti Kampung Narum itu merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap keselamatan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran mendapatkan bantuan kecemasan dengan segera.
Pada majlis sama, Yayasan Bintulu Port turut menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada komuniti Kampung Narum berupa sebuah sistem pembesar suara (PA System), 50 unit kerusi dan lima unit meja bulat bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Penguang turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Daerah Marudi, Yayasan Bintulu Port serta Bintulu Port Holdings Berhad atas kerjasama menjayakan program yang bukan sahaja meningkatkan kesiapsiagaan komuniti terhadap bencana, malah mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.— TVS