Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Pelabuhan Kampot dan Koperasi Pertanian Takeo jadi tumpuan lawatan delegasi Sarawak
09 Oct 2025


Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi mengetuai delegasi Sarawak berkunjung ke Wilayah Takeo.

PHNOM PENH, 9 Okt: Delegasi Kerajaan Sarawak yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke Kemboja pada Rabu meneruskan siri pertemuan dengan pihak berkepentingan tempatan yang menumpukan kepada sektor pelabuhan dan pertanian sebelum bertemu komuniti perniagaan Malaysia di Phnom Penh.

Lawatan tersebut dimulakan di Pelabuhan Serbaguna Kampot yang baharu yang mana delegasi Sarawak diberi taklimat oleh pihak pengurusan pelabuhan mengenai operasi semasa, rancangan pembangunan masa depan serta peranannya sebagai hab logistik utama di rantau ini.

Kunjungan itu turut membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama antara Bintulu Port Holdings Berhad dan Pelabuhan Serbaguna Kampot, dengan kedua-dua pihak berusaha memperkukuh jaringan maritim serta memudahkan perdagangan masa depan antara Sarawak dan Kemboja.

Pada sebelah petang, delegasi berkunjung ke Wilayah Takeo bagi meninjau kawasan sawah padi yang diusahakan oleh Koperasi Pertanian Samaky Trapeang Kralanh.

Koperasi tersebut berkongsi kejayaan mereka dalam memperluas pengeluaran padi dan meningkatkan taraf hidup komuniti setempat melalui amalan pertanian inovatif dan model koperasi yang berkesan.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak untuk memperkukuh kerjasama serantau serta mengenal pasti rakan strategik bagi menyokong matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 khususnya dalam bidang logistik, pertanian dan perdagangan.-TVS