Skip to main content Skip to footer

Bintulu Port In The News

Sarawak Raih 3 Emas Dalam Acara Akuatik Special Olympics Malaysia Games 2026 Setakat Ini
26 Apr 2026


Edisi Ukas Image

BINTULU: Kontinjen Sarawak mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tiga pingat emas setakat ini dalam acara akuatik sempena Special Olympics Malaysia 6th National Games Sarawak 2026 yang berlangsung di Kolam Renang Awam Bintulu BDA pada Sabtu.

Selain tiga emas, Sarawak turut menambah tiga pingat perak dan empat gangsa, sekali gus meletakkan pasukan negeri itu antara pencabar utama dalam kejohanan sukan inklusif berprestij berkenaan.

Antara tumpuan utama ialah kejayaan Branson Sim Jian Hung yang merangkul pingat emas dalam acara 100 meter lelaki gaya bebas (Final 2) selain turut memenangi pingat perak dalam acara 50 meter kupu-kupu.

Seorang lagi atlet Sarawak, Aaron Ling Thai Yun turut menyumbang pingat emas menerusi acara 50 meter kupu-kupu (Final 2), sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan negeri.

Dalam pada itu, pasukan Kedah mendahului dalam pungutan pingat emas terbanyak bagi acara akuatik dengan empat emas dan tiga perak, diikuti Sarawak dengan tiga emas, tiga perak dan empat gangsa, manakala Wilayah Persekutuan Labuan meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Selain sukan akuatik, kemeriahan kejohanan terus dirasai di sekitar bandar Bintulu dengan berlangsungnya beberapa acara sukan lain secara serentak melibatkan bola keranjang, boling, bocce, ping pong, badminton, dan bola sepak. - EDISI UKAS